Wednesday, February 13, 2008

Bubar Parlimen mengejut, Abdullah takut pengaruh Anwar

Anis Nazri Wed Feb 13, 08 7:33:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Sah! Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi gentar dengan pengaruh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.
Kebimbangan terhadap pengaruh Anwar dilihat sebagai satu alasan mengapa Abdullah mengumumkan pembubaran parlimen secara tergesa-gesa, walaupun sering menafikan kebimbangan Umno terhadap pengaruh Anwar.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, kenyataanya kepada wartawan di pejabatnya, di Brickfields berkata Anwar dibenarkan bertanding pada 15 April ini, iaitu lebih kurang sebulan - yang menjadikan BN bimbang dengan keadaan tersebut.
"Apa saja yang mereka sebut tentang Anwar, kononnya tidak bimbang dengan pengaruh Anwar, sebenarnya menunjukkan sikap sebaliknya. Hakikatnya, BN tidak mahu Anwar menyertai pilihan raya," tegas Tian Chua, hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dan kecewa berhubung pembubaran ini memandangkan Abdullah baru saja menafikannya kepada media, semalam.
"Kita bukan persoal hak beliau untuk membubarkan parlimen, tapi cara beliau mengingkari janji itu yang dikatakan semalam. Semalam cakap lain, hari ini sudah lain. Ini bermakna banyak lagi janji-janji yang dibuat sebelum ini boleh diragukan sama ada ikhlas atau taktik pilihan raya semata-mata," tegasnya.
Dalam pada itu, Tian turut menjangkakan pilihan raya umum kali ini merupakan pilihan raya yang sengit, selain akan dipenuhi dengan taktik-taktik kotor daripada BN dalam memastikan kemenangan mereka.
Beliau turut meminta Abdullah berhenti mengarahkan mana-mana pihak dalam jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen memandangkan Abdullah kini tiada kuasa sebagai Perdana Menteri untuk memutuskan sama ada sesuatu perhimpunan itu aman atau sebaliknya.
"Saya harap Abdullah berhenti mengarahkan mana-mana pihak dalam jentera kerajaan, kerana beliau kini hanyalah calon berpotensi seperti saya dan kamu juga. Biar pihak polis yang menentukan sama ada aman atau tidak sesuatu perhimpunan aman, protes aman, ceramah umum dan sebagainya. Harap BN sedar hakikat ini," kata beliau.
Justeru, beliau berharap pihak polis membuat keputusan secara profesional tanpa dipengaruhi mana-mana parti kerana semua parti adalah sama dalam menghadapi pilihan raya ini.- wann/mks.

No comments: