Saturday, February 23, 2008

Majlis Syura lebih teliti berbanding BPR

Nyza Ayob Sun Feb 24, 08 1:07:29 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berkata calon-calon PAS bagi Pilihan raya umum ke-12 tidak memerlukan tapisan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana para calon telah melalui sistem Majlis Syura pemilihan yang dilakukan dengan lebih teliti dan telus.
Kata Hasan, tapisan yang dilakukan BPR juga banyak meragukan kerana berdasarkan pengalamannya membuat laporan BPR mengenai 18 rasuah Khir Toyo, tidak ada siasatan yang dilakukan ke atas Menteri Besar Selangor itu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan wartawan dalam sidang media yang diadakan pada majlis pengisytiharan calon PAS Selangor, di sini baru-baru ini.
"Kita tidak perlu tapisan BPR kerana tapisan melalui Majlis Syura lebih membuat 'kita menggigil'. Kita tidak bertanggungjawab kepada BPR tetapi kita bertangggungjawab kepada Allah.
"Jika individu yang merokok dipandang serius untuk tidak dipilih sebagai calon, apatah lagi kesalahan lain. Sebagaimana dinyatakan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa dia tidak mahu melihat calon PAS yang merokok,"katanya.
Mengenai pemilihan calon yang diketengahkan PAS di Selangor, katanya PAS mempunyai prinsip dan falsafah yang mana PAS memberi ruang kepada setiap inidvidu untuk bangkit menonjolkan kebolehan masing-masing.
"Calon yang ditonjolkan PAS daripada pelbagai profesional. Gabungan antara doktor, jurutera, jurubina, peguam, ulama dan ahli perniagaan menunjukkan gelombang yang kita lakukan di Selangor.
"Dan saya yakin melalui gelombang ini, kita dapat lihat perbezaan antara calon Umno dan PAS. Jika kita tidak mempunyai ilmu bagaimana kita hendak berbahas di Parlimen dan Dun soal pembangunan, bajet termasuk enakmen-enakmen? Dan saya rasakan PAS telah meletakkan calon yang betul-betul berkelayakan,"katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menaruh keyakinan sokongan rakyat terhadap PAS semakin bertambah berdasarkan beberapa isu yang berlaku di negara kebelakangan ini.
Tambahnya kehadiran lebih 5,000 rakyat pada majlis itu membuktikan sokongan rakyat terhadap PAS walaupun kehadiran mereka bukan disebabkan publisiti di sebarang media.
"Kehadiran mereka pada malam ini juga menunjukkan satu testimoni terhadap PAS. Saya yakin peluang untuk PAS amat cerah. Dan pada 9 Mac, perubahan akan berlaku di Selangor
"Kita mengharapkan dapat merampas semua kerusi di Selangor. Setiap lapan tahun berlaku persempadanan semula, strategi BN dan Umno ialah untuk mencampurkan 50 peratus Cina, 50 peratus Melayu atau 30 peratus Melayu dan 20 peratus India. Tetapi strategi seperti ini akhirnya memakan tuan,"katanya.
Beliau juga menekankan bahawa pencalonannya di Dun Gombak Setia bukan perkara luar biasa kerana sebelum ini pada 1999 beliau pernah bertanding di Parlimen Parit Buntar, Perak dan Dun Sungai Burung, Selangor.
"Jika pada 1999 saya memenangi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dun tetapi pada 2004 saya kalah di kedua-dua kawasan ini. Jadi pada kali ini , saya hanya bertanding di Gombak Setia dan saya dapat menumpukan sepenuh perhatian saya pada kawasan ini,"katanya, penuh mengharap.
Sementara itu, sewaktu ditanya mengenai laporan media yang bersifat propaganda Barisan Nasional, Hasan menegaskan beliau tidak membaca akhbar kerana terdapat laporan akhbar yang tidak melaporkan perkara sebenar.
"Apa yang di dalam media ini mengekalkan baik? Dan saya yakin apa yang anda semua tulis pada malam ini apabila sampai kepada editor masing-masing tidak akan keluar sebagaimana yang ditulis. Saya memahami tugas anda, tetapi anda tidak dapat lari daripada sistem seperti ini,"katanya. - mks.

No comments: