Lanjusoh Sat Feb 23, 08 8:06:11 pm MYT
KOTA BHARU, 23 Feb (Hrkh) – Pejabat Peguam Negara dikatakan mengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan borang-borang penamaan calon dikenakan duti setem sebelum dikemukakan pada hari penamaan calon esok.
Dan borang pencalonan yang tidak dibayar duti setem difahamkan diarah supaya ditolak pada hari penamaan calon.
Sedangkan pada borang pencalonan ditulis perkataan tidak perlu kepada pembayaran duti setem sebagaimana diamalkan 11 kali pilihan raya sebelum ini.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, arahan tersebut dibuat secara tergesa-gesa pada petang Khamis lalu.
"Ketika itu hanya tinggal tidak sampai sejam lagi pejabat hendak tutup. Bagaimana kita hendak selesaikan bayar duti setem kesemua 59 borang iaitu 45 Dun dan 14 Parlimen. Ketika itu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah hendak tutup.
"Cuba tuan-tuan bayangkan bagaimana hendak selesaikan dalam masa begitu singkat. Bukankah kelam kabut jadinya," katanya pada ceramah memperkenalkan calon PAS bagi peringkat parlimen Kota Bharu di Dataran Stadium di sini malam tadi.
Difahamkan arahan itu dikeluarkan pada jam 4 petang hari Khamis yang dianggap banyak pihak sebagai usaha memerangkap pembangkang.
Bagaimanapun Wan Abdul Rahim berkata, SPR dapat membantu menyelesaikan masalah itu dengan mengarahkan LHDN membuka kaunter pada hari cuti Jumaat dan Sabtu.
"SPR lebih bersimpati dengan kita sehingga mengeluarkan arahan supaya kaunter LHDN dibuka. Arahan supaya dibayar dikenakan duti setem kita percaya ia bukan dibuat SPR, tetapi pihak lain.
"Mengikut maklumatnya arahan yang tidak masuk akal itu dibuat Pejabat Peguam Negara dan kita percaya ia bukan dilakukan SPR. Dan mungkin juga pejabat Peguam Negara menerima arahan daripada pemimpin tertinggi negara," katanya.
Kata beliau tindakan tersebut secara jelas bertujuan menyusahkan pembangkang. Begitu juga katanya dengan hari penamaan calon yang ditetapkan pada hari Ahad sedangkan negeri-negeri Pantai Timur adalah hari bekerja.
Menurutnya suasana kelam kabut itu secara jelas menggambarkan kepemimpinan negara sekarang begitu lemah dan tidak mempunyai perancangan teliti.
Malah katanya pada pilihan raya umum lalu arahan untuk memasang bangsal panas begitu kelam kabut sekali kerana ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
Oleh itu beliau percaya segala peraturan itu bukan dibuat pegawai kerajaan sebaliknya pemimpin Umno bagi mempertahankan kuasanya.
Pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan nama-nama calon PAS yang bertanding di seluruh Kelantan. Orang ramai memenuhi segenap ruang Dataran Stadium.
Malah ramai yang hadir mencatat nama-nama calon apabila disebut Menteri Besar. Ada yang mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju.
Sebelum pengumuman nama calon, diadakan solat hajat selepas solat Isyak yang diimamkan Menteri Besar.
Setiap calon yang bakal bertanding memperkenalkan diri kepada orang ramai yang hadir. Antara mereka ialah Wan Rahim, Dato' Takiyuddin Hassan, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Rohani Ibrahim.
Pengisytiharan calon tersebut dibuat serentak di seluruh 14 kawasan parlimen di Kelantan. Di Pengkalan Chepa diadakan di Kompleks Purnama, Pasir Mas di padang mini stadium, Tumpat (Padang Kemahkotaan) dan Machang di padang Majlis Daerah.
Pengumuman nama-nama calon yang bertanding dibuat Yang Dipertua PAS kawasan. Setiap program tersebut dihadiri tidak kurang 5,000 penduduk tempatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sebenarnya, setahu kami Borang 5 atau 5A tidak dikenakan duti setem sebab :
Perk. (ix) Jad 1 Akta Setem 1949 yang masih berkuatkuasa sehingga kini selepas lalui beberapa pindaan memperuntukkan bahawa mana-mana suratcara yang digunakan sebagai mematuhi syarat mana-mana Kerajaan atau Agensi kerajaan (seperti SPR) dikecualikan daripada duti setem.
Post a Comment