Roy Rasul, Salmiyah Harun & Nyza Ayob Wed Feb 13, 08 2:33:25 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengingat semua petugas parti memberi tumpuan sepenuhnya khasnya dalam tempoh dua minggu selepas pembubaran parlimen hari ini.
Katanya, yang dihubungi Harakahdaily hari ini, mulai saat ini mereka perlu mengorbankan masa, tenaga dan apa saja untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya ke-12 ini.
"Segala persiapan kita sudah masuk ke tahap pelaksanaan di peringkat akhir dan kita mengharapkan semua petugas parti memberi tumpuan sepenuhnya," katanya.
Tambahnya, walaupun tarikhnya dipilih secara tidak demokratik oleh BN namun PAS bersedia menghadapi pilihan raya kali ini.
"PAS mengharapkan agar pilihan raya kali ini akan dilaksanakan secara bebas, bersih dan adil sejajar dengan sistem demokrasi yang kita sama-sama terima.
"PAS menegaskan amaran yang pernah disuarakan sebelum ini agar tidak ada mana-mana pihak menjadi perkakas dan mengizinkan dirinya membantu mana-mana parti secara tidak demokratik termasuklah menjadi pengundi hantu pada hari mengundi nanti,"tegasnya.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.
Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.
Abdullah juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.
Sekarang masanya membuat pecutan terakhir
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub mengharapkan jentera Pemuda melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepenuhnya dalam menggerakkan jentera pilihan raya serta jangan ada sebarang alasan untuk menghalang tanggungjawab tersebut.
Katanya, sekarang merupakan masa untuk Pemuda membuat pecutan terakhir setelah membuat persediaan menghadapi Pilihan raya sejak setahun yang lalu.
"Sekarang merupakan masanya bagi Pemuda menggunakan seluruh stamina yang ada untuk mencapai matlamat dan kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,"katanya.
Muslimat jangan mudah lemah semangat
Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh mengingatkan semua jentera parti khususnya muslimat mengambil peluang waktu 'kecederaan' ini untuk bekerja bersungguh-sungguh.
"Kita kena berkerja bersungguh-sungguh untuk menumbangkan kesombongan dan keangkuhan Umno dan BN yang semakin menjadi-jadi, dalam pilihan raya nanti," katanya.
Beliau ketika dihubungi berkata, para petugas parti hendaklah menjaga dispilin bukan sahaja untuk parti bahkan kepada Yang Maha Esa.
Beliau juga menasihatkan semua jentera parti muslimat PAS jangan mudah lemah semangat dengan kekuatan jentera parti lawan yang menguasai segala aspek termasuklah media.
Awas, taktik kotor BN
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Fuziah Salleh berkata, apa yang penting rakyat perlu bertenang.
Ini kerana katanya, Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan yang tergugat dan atas sebab itu mereka akan menggunakan pelbagai taktik kotor dalam pilihan raya kali ini.
Sehubungan itu, katanya Barisan Alternatif (BA) perlu menjaga pengundi-pengundi BA dan mendekati pengundi-pengundi atas pagar bagi memastikan kemenangan.
"Kita kena fokus betul-betul dan saya menyeru petugas-petugas BA supaya jangan hilang fokos dan jangan habiskan masa terlalu banyak dengan perang bendera dan poster.
"Kadang-kadang kita hilang fokus kerana terlalu seronok menaikkan bendera dan poster.
"Walaupun tidak dinafikan benda itu penting tetapi perkara itu sebenarnya hilang fokos daripada kita menyentuh pengundi secara 'direct'," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Oleh itu katanya semua petugas, wanita, pemuda dan dewasa perlu mendekati pengundi dan menarik mereka agar menyokong BA.
Abdullah tidak hormati kaum Tionghua
Dalam respons perkara yang sama, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Chong Eng menganggap pembubaran Parlimen hari ini menggambarkan Abdullah tidak menghormati kaum Tionghua di negara ini memandangkan mereka masih dalam mood menyambut Tahun Baru Cina.
Katanya, hari ini merupakan hari ke tujuh mereka menyambut Tahun Baru Cina dan esok merupakan upacara keagamaan mereka sempena perayaan tersebut.
"Sungguhpun kita sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya,pengumuman hari ini di luar jangkaan yang mana kita menjangkakan selepas Tahun Baru Cina. Sekarang bukan masa darurat. Dan beliau boleh menangguhkannya dalam tempoh dua minggu lagi.
"Selain itu beliau berbohong kepada rakyat. Semalam beliau menyatakan Parlimen tidak akan dibubarkan dan hari ini beliau mengumumkan Parlimen akan dibubarkan,"katanya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment