Monday, February 18, 2008

Awas, perancangan 'jahat' halang calon BA bertanding

Azamin Amin Tue Feb 19, 08 9:21:36 am MYT
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Terdapat perancangan 'jahat' pihak tertentu untuk menghalang parti pembangkang khususnya PAS bertanding di kawasan Parlimen Pandan, Selangor pada pilihan raya umum ke-12.
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan Iskandar Abdul Samad mendakwa ada ura-ura bakal-bakal calon dan pimpinan parti-parti bukan Barisan Nasional (BN) akan ditahan sebelum hari penamaan calon pada 24 Februari supaya BN dapat meraih kejayaan dengan menang tanpa bertanding.
"Walaupun desas-desus, kita mengambil perhatian serius tentang dakwaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan media yang difaksmilikan kepada Harakahdaily semalam.
Katanya, perkembangan beberapa insiden di Pandan telah mendorong PAS untuk berwaspada dan menggesa supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab melupakan perancangan jahat untuk menjatuhkan PAS dalam pilihan raya akan datang.
Antara insidennya ialah pada 26 Januari lalu, seorang anggota cawangan khas Balai Polis Daerah Ampang telah menyusup masuk dalam konvensyen PAS manakala keesokannya pihak polis yang menggalas 'machine gun' didakwa telah cuba menakut-nakutkan tetamu yang hadir di majlis minum teh bersama masyarakat India di Pandan Indah.
Selain itu pihak polis didakwa telah mengganggu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berucap pada lawatan ke Kampung Pandan yang diadakan di rumah ahli PAS 29 Januari lalu.
"Pada 16 Februari lalu, polis telah cuba mmeberhentikan program solat hajat dan munajat kami di Pandan Indah," katanya.
Katanya, provokasi polis itu tidak boleh dijadikan alasan perundangan memandangkan program-program Umno seperti Majlis Mesra Rakyat ADUN Chempaka pada 10 Februari lalu tidak diganggu padahal diadakan di padang awam.
"Kita seru supaya semua pihak bertindak secara bertamadun dan berfikiran waras untuk menghormati demokrasi di negara ini
"Jika perlu, kita akan mengadap Sultan Selangor supaya baginda dapat memastikan agar demokrasi di Selangor ini tidak dicemari,"tegasnya.
Beliau tidak mahu insiden 28 September lalu berulang lagi iaitu Naib Yang Dipertua PAS telah dibelasah di Kampung Pandan.
Walaupun laporan polis telah dibuat sehingga kini penyerang terbabit belum didakwa sama sekali.
"Nyawa pimpinan PAS terancam jika pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan pengancam ini terlepas daripada undang-undang," katanya. - mks

No comments: