Sunday, March 23, 2008

Presiden PAS seru rakyat Terengganu hormati keputusan Istana

Azamin Amin Mon Mar 24, 08 1:28:32 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh)- PAS menyatakan sokongan penuh dan menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu berhubung perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru selepas dua minggu Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum yang lalu.
Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata beliau percaya keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja itu mengambil kira dan menitik-beratkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.
Semalam pihak Istana Trengganu telah bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar sekaligus menamatkan era kepimpinan Dato' Seri Idris Jusoh satu penggal.
Namun Terengganu berterusan tanpa menteri besar apabila Ahmad yang dipilih oleh pihak istana tidak mengangkat sumpah jawatan tersebut semalam.
Sebaliknya, beliau hanya menerima watikah pengisytiharan pelantikan sebagai menteri besar Terengganu yang baru dan watikah tersebut diserahkan kepada beliau oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), dan juga adinda Sultan Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.
"PAS yakin yang keputusan pihak Istana Terengganu itu bersandarkan ketidak-puasan hati Istana dan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar yang lalu.
"Keputusan itu sudah pasti difahami dan diterima rakyat oleh kerana merekalah yang sebenarnya menanggung kesan langsung hasil dari ketidakcekapan dan kerakusan pimpinan negeri yang lalu," kata Ustaz Hadi dalam satu kenyataan medianya.
Beliau menyeru seluruh rakyat negeri Terengganu agar menghormati keputusan pihak Istana itu dan menyatakan pentingnya kerjasama yang dijalin antara antara rakyat dengan Istana.
"Sesungguhnya kerjasama antara rakyat dan Istana sangat penting, insya-Allah demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negeri Terengganu Darul Iman," katanya. -->

No comments: