Abdul Halim Mohd Rashid Mon Mar 24, 08 1:35:58 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan berapa lamakah Adun-Adun Umno di Terengganu "boleh dikurung".
"Sekalipun UMNO mengurung kesemua wakil rakyat mereka, berapa lama boleh dikurung?" tanya beliau.
Pelbagai sumber mendakwa 23 Adun Umno yang dikatakan menuntut perlantikan semula Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar (MB) telah dikurung kononnya "untuk memastikan sokongan mereka bagi membolehkan Idris dilantik semula".
Husam mengingatkan, walaupun hari ini Adun Kijal, Datuk Ahmad Said yang diperkenankan sebagai MB oleh Sultan Terengganu "sebatang kara", tetapi "esok lusa, belum tau. Mungkin ada yang berminat".
"Sebagai MB, Ahmad rasa saya, boleh masuk ke Pejabat MB dan boleh menyemak segala fail atau meminta segala maklumat dari pegawai dan jabatan" kata beliau dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com.
Husam berharap Ahmad mendapatkan laporan penilaian kos sebenar pembinaan Masjid Kristal.
"Ikut cakap umum, kosnya tak sampai RM 50 juta tapi belanjanya dikatakan lebih RM 360 juta. Mana satu betul, harap MB Terengganu boleh carikan jawapan.
"Kami juga seronok ingin tau berapa sebenarnya yang dibelanjakan untuk program kebanggaan (Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi), Monsoon Cup. Betulkah lebih dari RM 250 juta setahun?"
Untuk tujuan tersebut, kata Exco Kerajaan Kelantan itu, ada baiknya MB Terengganu bukan Idris Jusoh. "Terengganu bukan Idris Jusoh dan Idris Jusoh bukan Terengganu," katanya.
Mengulas apa yang berlaku di Terengganu itu, Husam menyifatkan pergolakan itu berpunca dari sikap pihak yang beraja di hati.
"...ada pihak yang beraja di hati sanggup hilang negeri kerana mempertahankan calon tunggal MB mereka. Jalan tengah tak cuba dicari. < "Calon kami atau 'perang'. Ultimatum".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment