Sunday, March 23, 2008

Kenyataan terbuka mengenai lantikan MB Terengganu, Gani Patail malukan kerajaan?

Intan Abdullah Sun Mar 23, 08 3:29:03 pm MYT
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak wajar membuat kenyataan terbuka meminta supaya Yang DiPertuan Agong tidak masuk campur dalam urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu. -->-->
Hal tersebut dijelaskan Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Menurutnya, ia disebabkan soal perlantikan adalah terletak pada kuasa budi bicara Sultan atau Majlis Pemangku Raja berkenaan.
"Kenyataan itu tidak wajar kerana ia mendahului Yang DiPertuan Agong seolah-olah beliau hendak mengajar baginda secara terbuka.
"Abdul Gani boleh memohon menghadap dan memberitahu baginda apa yang beliau fikir baik dan perlu dilakukan. Dengan membuat kenyataan terbuka Gani telah memalukan kerajaan persekutuan dengan tindakan itu," katanya ketika diminta mengulas isu campurtangan Peguam Negara dalam pelantikan Menteri Besar Terengganu.
Tegasnya, isu kelewatan perlantikan tersebut perlu diselesaikan bersama oleh istana dan pihak Bn yang telah memenangi negeri tersebut.
"Apa pun harus diingat bahawa Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri selepas 11 hari pada pada pilihan raya umum ke-10 yakni 1999 dan ia menyebabkan kekecohan pada sidang pertama parlimen," ujarnya.
Tambahnya, pada ketika itu tidak ada sebab yang munasabah dibangkitkan kerana Mahathir turut menghabiskan masa melawat program LIMA di Langkawi meskipun beliau masih berada dalam status Perdana Menteri bagi kerajaan sementara.
Selain kekecohan di kalangan pimpinan Umno Terengganu, ujarnya pihak istana mempunyai tanggung jawab memastikan bahawa MB yang dilantik benar-benar disokong oleh semua pihak.
"Titah Raja Perlis yang mengingatkan akhbar sebelum ini supaya tidak mengeruhkan keadaan amat relevan dan ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya pihak media," katanya lagi.
Tegasnya, Raja Perlis digambarkan oleh banyak pihak sebagai cuba melawan Perdana Menteri, apabila tidak melantik Dato' Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah baginda mahu mempastikan siapa yang benar-benar mendapat sokongan.
"Baginda tidak mahu terpengaruh dengan sokongan yang didakwa sebaliknya baginda mahu tahu dan dengar sendiri sokongan itu, bahkan langkah yang sama diambil pihak istana Perak dan Selangor," ujarnya.
Abdul Aziz mendakwa hal tersebut adalah berpunca daripada peranan yang dimainkan pihak media.
"Selepas BN mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya baru-baru ini, mereka cuba hendak menegakkan benang basah dengan tidak membuat laporan yang sebenar.
"Dengan itu semua pihak, termasuk istana, keliru dan terpaksa membuat kepastian sendiri," ujarya lagi.
Oleh yang demikian katanya dalam isu pelantikan Menteri Besar Terengganu, pihak Istana berhak untuk mengambilkira banyak faktor sebagaimana yang berlaku di Perak selepas kekeliruan timbul apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besarnya.
"Walaupun istana boleh melantik wakil BN sebagai penyelesaian pada kemelut tersebut, tetapi istana memilih untuk mengambil langkah berhati-hati dan menangguhkan upacara pelantikan itu.
"Dalam kes ini, saya percaya istana Terengganu mempunyai maklumat tentang pergolakan politik di negeri itu termasuklah tragedi Batu Buruk dan kekecohan di Marang pada hari pengundian," katanya lagi.
Apa yang pasti ujarnya, Istana mempunyai alasan bahkan tanggung jawab untuk enggan melantik mereka yang dipercayai terlibat dengan insiden yang mencemarkan perjalanan demokrasi itu.
"Dan sehingga kini, Idris Jusoh selaku Pengerusi Badan Perhubngan Umno Terengganu masih tidak menafikan keterlibatan beliau dengan kedua-dua insiden yang memalukan itu," katanya mengakhiri ulasan tersebut.
Kemelut pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya 8 Mac lalu melanda banyak negeri, bukan hanya kepada negeri yang bertukar tampuk pemerintahan yakni dikuasai parti baru bahkan juga di negeri yang telah diperintah parti pemerintah di peringkat kerajaan pusat.
Masalah yang menimpa kerajaan Terengganu berlarutan sehingga kini yang menyaksikan pertembungan antara dua orang individu iaitu mantan MB yang lalu, Idris Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said.
Mengeruhkan lagi suasana apabila pihak peguam negara campur tangan diikuti dengan tindakan tatatertib yang bakal diambil pihak Umno ke atas Ahmad Said sekiranya menerima keputusan pihak istana./wann.

1 comment:

ucop said...

sepatutnya ghani 4tahil ini dikenakan tindakan yg setimpal dengan kelancangan mulut...kan ISA masih kosong so sumbat je ghani 4 tahil ini kedalam tau pun huban saje kedalam laut biaq ikan jerung makan abis cerita..samapai tak ade adat menghormati Raja lansung patut ghani 4 tahil dilucutkan kerakyatan Malaysia.