Malaysiakini.com Sun Mar 23, 08 10:54:41 am MYT
KUALA LUMPUR, 23 Mac - Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mohd Khaled Nordin berkata, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berhak menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno tetapi ahli Umno berhak menolak cadangan beliau itu. -->-->
"Itu adalah hak dia (Tengku Razaleigh). Jikalau (ahli-ahli Umno) tidak menyokong beliau, itu juga adalah hak mereka," kata beliau yang juga ketua bahagian Umno Pasir Gudang kepada pemberita.
Bagaimanapun, katanya, lebih baik bagi anggota Umno menumpukan kepada usaha menangani masalah dalaman parti.
"Bagi saya, adalah lebih baik kita bersatu-padu dan berhadapan dengan musuh-musuh sebenar di dalam parti," katanya.
Manakala ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Noh Omar pula menasihatkan Tengku Razaleigh Hamzah supaya memulihkan keadaan Umno di Kelantan terlebih dahulu sebelum bercita-cita merebut jawatan presiden parti.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Noh Omar berkata adalah lebih wajar jika ahli Parlimen Gua Musang itu menumpukan membantu memperkasakan semula Umno di negeri tersebut. Tumpu di Kelantan dulu
"Saya tak nampak mengapa Tengku Razaleigh nak tawarkan diri sebagai presiden parti sebab kalau betul beliau hebat, Kelantan sepatutnya kena bantu dulu.
"Ini di Kelantan banyak bantuan kita (kerajaan Barisan Nasional) beri tapi Umno di Kelantan kalah lebih teruk lagi (pada pilihan raya umum 8 Mac lepas)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun jubli emas Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di ibu negara semalam.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sekiranya benar bekas Menteri Kewangan itu berhasrat ingin memulihkan Umno, beliau seharusnya melaksanakan matlamat itu dengan memberi tumpuan penuh kepada Kelantan.
"Adalah lebih baik kita mainkan peranan masing-masing. Macam saya dari Umno Selangor, saya ingin mantapkan Umno Selangor, perpaduan di negeri Selangor kerana kekuatan bukan datang dari kepimpinan semata-mata, tapi lahir dari perpaduan.
"Bila kita bersatu, baru ada perpaduan. Bila kita ada perpaduan, baru kita ada kekuatan. Bila ada kekuatan, baru ada kejayaan. Asas penubuhan Umno sendiri ialah perpaduan," katanya./wann.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment