Sunday, March 23, 2008

Isu MB: Pemuda Terengganu sokong Presiden PAS

Awang Harun Mon Mar 24, 08 1:13:53 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Hrkh) ? Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyokong penuh kenyataan Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung perlantikan menteri besar yang baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac lalu.
Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya berdiri teguh dengan kenyataan Presiden PAS itu yang menyatakan sokongan penuh dan menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu berhubung perlantikan menteri besar.
Ustaz Abdul Hadi dalam satu kenyataan media berkata beliau percaya keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja itu mengambil kira dan menitikberatkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.
"Kami, Pemuda Terengganu menyatakan sokongan padu kepada Presiden dan bersama dengan istana berhubung pelantikan menteri besar yang baru," ujar Azman ketika dihubungi Harakahdaily, pagi ini.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya menilai kembali kepimpinan Umno yang telah memerintah negeri ini pada penggal lalu yang banyak melakukan pembaziran, penyelewengan, salah laku dan seumpamanya yang kesannya dirasai oleh rakyat sendiri.
Tambahnya, ini juga menyebabkan wujudnya kecelaruan di kalangan pemimpin Umno negeri dan rasa tidak mempercayai antara satu sama lain walaupun mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Pemuda PAS Pusat menambah, rakyat kini melihat pemimpin Umno negeri semakin tidak bermaruah dalam menangani isu pelantikan menteri besar yang begitu lama untuk diselesaikan.
"Apapun, kami tetap bersama dengan Presiden PAS dan menghormati apa juga keputusan istana berhubung perkara itu dan berharap rakyat jelata sewajarnya berdiri teguh di belakang istana agar keharmonian negeri tetap terpelihara," ujarnya. - mns

No comments: