Tuesday, March 25, 2008

Krisis Terengganu: PM lupa BN sudah hilang kuasa majoriti

M Faqih Tue Mar 25, 08 2:28:24 pm MYT
KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Krisis yang melanda Terengganu sekarang sebenarnya memperlihatkan kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cuba mempertahankan keegolan Barisan Nasional (BN) tanpa menoleh ke peringkat akar umbi.

Perdana Menteri juga seperti lupa BN sudah kehilangan kuasa majoriti di Parlimen yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak negara mencapai kemerdekaan, 1957.
Kehilangan majoriti dua pertiga sebenarnya menjadi titik mula pelbagai pihak untuk mempersoalkan hak-hak mereka selepas sekian lama terpinggir di bawah kuasa mutlak BN.
Begitu juga dengan institusi Raja-Raja Melayu berpeluang menggunakan ruang sekarang bagi menuntut semula hak-hak badan tersebut, yang dianggap semakin terhakis sejak imuniti Raja-Raja Melayu dikurangkan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis sudah cukup jelas menghantar mesej mengenai tidak senangnya institusi istana terhadap kuasa mutlak kerajaan BN.
"Sebelum ini pihak istana tidak mempersoalkan pelantikan Menteri Besar yang sudah dipersetujui Perdana Menteri. Namun kesempatan kuasa BN yang semakin mengecil maka sekarang mungkin menjadi masa sesuai mereka bertindak," kata anggota Parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Abdul Kadir.
Beliau yang juga anggota jawatankuasa Badan Perhubungan KeADIlan Kelantan berkata, Perdana Menteri perlu mengetahui situasi politik negara sekarang.
Menurutnya sikap tidak mahu mengalah Abdullah dan Datuk Seri Idris Jusoh dalam isu pelantikan Menteri Besar Terengganu memperlihatkan Perdana Menteri seperti mempertahankan ego lama BN yang pernah memiliki kuasa dua pertiga.
"Sekarang kuasa itu sudah diragut rakyat pada pilihan raya umum lalu. Dan BN sudah terumbang ambing. Biar pun situasi serupa pernah berlaku di Kelantan pada penggal lalu, namun kepemimpinan kerajaan negeri lebih telus dan masih disenangi rakyat.
"Dengan kuasa tanpa majoriti kerajaan Kelantan dapat dipacu dengan cemerlang dalam tempoh empat tahun. Namun apa yang berlaku kepada BN sekarang mereka dilihat tidak berhati-hati dalam saat-saat genting," katanya.
Oleh itu beliau berpendapat sekiranya 23 Adun BN menyedari apa yang berlaku sekarang, mereka bila-bila masa sahaja boleh berpaling tadah daripada Idris.
Menurutnya, tidak dapat ditolak kemungkinan Idris hanya tinggal keseorangan dalam situasi sekarang.
"Adun BN yang lebih bersifat terbuka kecuali Datuk Rosol Wahid yang bermati-matian membela Idris, mempunyai peluang luas dilantik sebagai anggota Exco baru di bawah kabinet Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar baru,?"katanya.
Beliau juga mempersoal siapa sebenarnya yang menaikkan sepanduk 'Kami Nak Idris, Natang!' yang dinggapnya tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Apakah boleh ditafsirkan perkataan natang (binatang) itu dituju terhadap istana atau pihak mana. Oleh itu pihak berkuasa perlu menyiasat perkara tersebut kerana menghina dengan perkataan cukup menjijikkan," ujarnya.
Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Idris menasihat 23 Adun BN tidak bersikap negatif adalah langkah terbaik.
Katanya, dalam konteks sekarang Idris perlu lebih bersikap terbuka seperti diamalkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurutnya, imej Shahidan di Perlis tidak tercalar sangat berbanding dengan Idris yang terus berdegil mahu mewujudkan konflik dengan pihak istana.
"Sokongan terbuka rakyat Terengganu kepada Menteri Besar baru sudah cukup jelas menggambarkan rakyat mulai muak dengan lakonan Perdana Menteri, Idris dan Rosol," ujarnya. - mj/ mr

No comments: