Awang Harun Wed Mar 26, 08 7:22:34 am MYT
KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang supaya pilihan raya dijalankan secara bersih daripada sekatan melompat parti.
Katanya, cadangan untuk menggubal undang-undang menyekat melompat parti adalah bertujuan untuk menyelamatkan Umno.
"Saya rasa lebih baik digubal undang-undang untuk pilihan raya yang bersih dan untuk menghidupkan demokrasi yang sebenar supaya dihindarkan perkara-perkara yang meragukan seperti di Terengganu, sebagai contohnya, 520,000 pengundi daripada jumlah rakyat satu juta orang," ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri di sini, semalam.
Katanya, adalah tidak munasabah lebih 50 peratus rakyat negeri ini adalah pengundi dan mereka yang keluar mengundi pula sebanyak 85 peratus yang paling tinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri lain.
"Di sana dapat dilihat pilihan raya yang tidak bersih. Sebab itu, yang penting ialah membersihkan pilihan raya terlebih dahulu daripada isu menggubal undang-undang wakil rakyat melompat.
"Wakil rakyat adalah tokoh politik, pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh parti politik. Mereka patut menilai diri mereka sendiri dan terserah kepada diri masing-masing dan tidak boleh dihalang lompat parti," ujarnya.
Tambahnya, apa yang boleh dihalang ialah rasuah dan yang sepatutnya digubal undang-undang untuk menyekat rasuah sama ada rasuah moral atau yang berbentuk kebendaan.
Mengenai undang-undang melompat parti, katanya ia telah ditimbul pada tahun 60-an lagi iaitu di zaman almarhum Dato? Asri Muda di mana ketika itu Umno mahu membeli wakil-wakil rakyat di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
"Ketika itu, kita pernah mencadangkan supaya digubal undang-undang ini tetapi tidak dilayan dan sekarang ini baru timbul semula seolah-olah untuk menyelamatkan Umno," katanya.
Menurutnya, para pemimpin Umno mahu mengadakan undang-undang itu adalah untuk menyelamatkan Umno dan bukannya untuk menyelamatkan demokrasi.
Tambahnya, sekiranya sesuatu parti itu berubah dasar dan matlamat, maka wakil rakyatnya ada hak untuk keluar parti.
Sebab itu, ujarnya akta melompat parti secara mutlak sahaja adalah tidak wajar kerana sepatutnya undang-undang itu dikaitkan dengan unsur-unsur yang mengotorkan demokrasi seperti rasuah dan lain-lain.
Ini, katanya telah menjadi amalan BN sejak turun-temurun dan yang berlaku di Terengganu pada tahun 1960-an, kemudian diikuti di Kelantan pada tahun 1978.
Katanya, apa yang berlaku di Kelantan pada tahun tersebut ialah wujudnya tindakan menculik wakil rakyat dan dikurung mereka dalam usaha BN hendak menjatuhkan Kelantan yang kemudiannya diisytiharkan darurat.
Pada tahun 2004 pula, katanya ada lagi cubaan untuk membeli Adun-Adun PAS di Kelantan dengan tawaran berjuta-juta ringgit.
"Wakil rakyat kita mempunyai maruah yang tinggi dan tidak dapat dibeli. Itu semua kerja-kerja Umno dan sekarang bila mereka mengalami keadaan yang terdesak barulah mereka bimbang takut 'lubang' yang mereka gali akan jatuh di lubang yang sama. Semua itu untuk kepentingan Umno dan bukan untuk kepentingan mengamalkan demokrasi yang adil di negara ini," ujarnya. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment