Tuesday, January 1, 2008

Skandal seks, PM perlu bertegas pecat Dr Chua Soi Lek

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jan 02, 08 9:50:42 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Hrkh) - Pengakuan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Chua Soi Lek berhubung skandal video seksnya bukan beerti kes ini harus ditutup begitu sahaja, sebaliknya ia memerlukan komitmen dari Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bertindak segera termasuk memecat Dr Chua dari jawatan Menteri Kesihatan. -->

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, kenyataan Dr Chua bahawa rakaman aksi seksnya adalah satu yang telah dirancang oleh pihak tertentu tidak boleh menjadi alasan kepada Perdana Menteri untuk tidak bertindak ke atas menteri itu.
Sebaliknya pelakuan Dr Chua yang tidak mengikut norma masyarakat Malaysia dan budaya di sini selain rosaknya moral beliau itu perlu dipandang berat, katanya.
"Meskipun Dr Chua bukan Muslim, tetapi pelakuan beliau sebagai seorang menteri dan wakil rakyat serta orang nombor dua dalam MCA tidak boleh diterima oleh masyarakat.Beliau seharusnya menjaga integriti dan akhlak sebagai pemimpin.
Modal Insan
"Jika Perdana Menteri enggan bertindak atau masih berteka-teki dalam isu ini, ia seolah-olah merelakan perlakuan sedemikian dalam sebuah kerajaan yang kononnya mementingkan pembinaan Modal Insan," ujar Mahfuz yang dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, seharusnya seorang menteri lebih-lebih lagi Menteri Kesihatan, menjadi 'role model' kepada rakyat dan bukannya berkelakuan sedemikian.
"Saya bimbang ianya akan menjadi ikutan kepada rakyat atau kakitangannya jika tindakan tegas tidak diambil ke atasnya termasuk oleh Presiden MCA, Dato' Seri Ong Ka Ting yang diminta mengambil tindakan disiplin ke atas Dr Chua," ujarnya.
Sebagai seorang pemimpin sebenarnya Dr Chua telah gagal dan beliau sendiri perlu ada iltizam untuk meletakkan jawatannya sebelum rakyat sendiri mendesaknya meletakkan jawatan, kata Mahfuz.
Sementara itu mengulas isu yang sama, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad melihat bahawa isu ini bukan sekadar soal konspirasi politik, tetapi ia juga melibatkan soal intergriti dan etika beliau sebagai seorang wakil rakyat bertaraf menteri kanan.
Walaupun bukan Muslim, tetapi ia melampau
Walaupun Dr Chua bukanlah seorang muslim, namun apa yang dilakukannya, iaitu melakukan hubungan seks rambang dengan wanita selain isteri beliau adalah di luar dari budaya kita rakyat Malaysia dan kaum Cina sendiri, katanya.
"Budaya menyimpan gundik atau wanita simpanan tidak wajar dilakukan lagi pada zaman moden ini dan menteri ini sudah cukup kaya jika mahu berkahwin lagi, jadi tiada sebab untuk beliau melakukan perkara-perkara yang melanggari etika dan budaya rakyat negara ini, " katanya.
"Jika di Amerika, Bill Clinton meletak jawatan kerana pendedahan skandal seks beliau, di Indonesia juga sama. Ahli Parlimen Indonesia, Yahya Zaini juga meletak jawatan selepas video skandal seksnya tersebar diinternet," katanya.
"Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pula telah memecat timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim atas alasan melakukan seks luar tabii walau pun ia hanyalah sekadar suatu pembohongan semata," katanya.
Jadi dalam kes ini Dr Chua wajib meletak jawatan bagi menjaga nama baik negara dan juga organisasi yang dipimpinnya, katanya.
Jika beliau enggan meletak jawatan, maka adalah wajib bagi Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memecatnya.
Memalukan negara
Pemuda PAS Wilayah juga bersetuju dengan pandangan Prof. Khoo Kay Kim yang menyarankan agar Dr Chua meletakkan jawatan kerana telah melakukan sesuatu perkara yang amat memalukan negara dan melanggari tatasusila masyarakat dinegara ini, katanya.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk beliau berfikir untuk kepentingan semua dan mengundurkan diri secara terhormat sebelum rakyat turun ke jalan raya untuk mendesak beliau berundur secara terhina, katanya.
"Soal ianya konspirasi atau tidak, itu adalah soal peribadi beliau. Yang nyata kini, beliau sendiri telah mengakui kecurangan beliau kepada isteri, keluarga, penyokong dan 27 juta rakyat negara ini dan permohonan maaf beliau akan dilihat lebih ikhlas jika beliau segera berundur dari kerajaan," katanya.
Pulihkan imej, pecat menteri
Sementara itu, Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) memandang serius akan isu video lucah yang antara lain membabitkan skandal seks menteri terbabit.
Penyebaran ini adalah sesuatu yang sangat memalukan negara di saat sepatutnya kerajaan berazam untuk memulihkan imej dan integriti kerajaan pada tahun 2008 ini, kata Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa.
Ini membuktikan bahawa kabinet yang ada sekarang ini perlu dibersihkan agar tidak terpalit dengan imej-imej songsang yang sememangnya sudah hilang kepercayaan rakyat ke atasnya, katanya.
Justeru, AMK mendesak agar Menteri yang berkenaan dipecat daripada jawatan Kabinet sepanjang prosedur penyiasatan dijalankan.
Kerajaan tidak boleh berdolak dalih dalam hal ini, kerana dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, pemecatan beliau hanya bersandarkan afidavit palsu yang diatur dan juga tilam.
Tetapi kes Menteri Kabinet ini jelas terbukti melalui rakaman separa professional yang disokong dengan pengakuannya, kata Fariz.
"Keyakinan rakyat kian terhakis dari hari ke hari. Sudah sampainya ia dipulihkan demi maruah rakyat dan negara," tegasnya.
Beberapa hari sebelum Dr Chua membuat pengakuan, Ketua Penerangan Umno Johor, Dato' Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan, pemimpin berkenaan tidak harus mendiamkan diri kerana ia boleh menjejaskan nama baik BN Johor khususnya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
“Beliau pemimpin kanan dan beliau tahu dirinya terlibat atau tidak jadi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab beliau tidak perlu tunggu siasatan… beliau perlu tampil ke hadapan… kalau tak betul nafikan tetapi kalau betul… beliau harus meletakkan jawatan supaya keyakinan orang ramai kepada BN terpelihara,” katanya dalam satu laporan akhbar versi internet baru-baru ini.
Semalam, dalam satu sidang media di Labis, Dr Chua yang juga Naib Presiden MC mengaku sebagai lelaki yang ada dalam imej rakaman aksi lucah dengan seorang rakan karibnya di sebuah bilik yang didakwa sebagai hotel.
Pendedahan beliau ini menggemparkan negara sementara kerajaan pimpinan Perdana Menteri amsih dibelenggu dengan isu dalaman Umno Perlis yang membabitkan Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim dengan Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan BN juga dihujani isu kritikan ke atas Umno oleh parti komponen BN (Gerakan) melalui Naib Ketua Pemuda Gerakan, S.Paranjothy selain isu kehakiman yang dipertikaikan.

No comments: