Intan Abdullah Thu Jan 03, 08
KUALA LUMPUR, 3 Jan (Hrkh) - PAS meminta supaya pihak polis menyiasat wanita yang dikenali sebagai Angelina Yam dalam DVD rakaman perlakuan seks bersama bekas Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek. -->
Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini mendakwa terdapat kemungkinan bahawa wanita tersebut, Angelina Yam yang berumur 30-an merupakan broker ataupun habuan seks daripada pihak tertentu kepada Chua.
"Polis sepatutnya menyiasat siapa sebenarnya wanita dalam DVD tu. Kalau betul namanya Angelina Yam, polis kena siasat pulak apa hubungan Chua dengan dia," ujarnya sambil membuat telahan kemungkinan Angelina berperanan sebagai broker seperti Altantuya Shariibu.
Selain itu, Mahfuz turut menjelaskan terdapat kemungkinan Angelina adalah kawan baik kepada Chua ataupun beliau merupakan habuan seks sesetengah pihak untuk kepentingan pihak tertentu ke atas Kementerian Kesihatan.
"Kalau macam tu, pihak polis kena pergi ke hotel tersebut dan mengusung tilam yang digunakan mereka yang terlibat sebagaimana yang berlaku dalam kes Anwar Ibrahim sebelum ini," katanya sambil mengaitkan dengan kes Anwar.
Beliau mendakwa Angelina mempunyai hubungan dengan pemilik syarikat Pan Sejati Development dan Zaf Holding, Dato' Tang Ser Lay @ Marcos.
"Dan apa pula kaitannya Angelina dengan wanita bernama Norsiah Mahmud?" katanya sambil menyebutkan satu nama lain.
Tambahnya lagi, pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga perlu menyiasat syarikat Ambulantery Call Centre yakni syarikat panggilan ambulan di Kelantan yang diberi kepada Syarikat Menang Intan yang mendapat projek ambulan.
Sementara itu, Mahfuz juga menempelak tindakan pihak polis yang hanya memberikan tumpuan kepada pengedaran DVD serta pihak yang merakamkan aksi tersebut.
"Polis sepatutnya melihat kepada individu yang terbabit dalam perlakuan DVD tersebut. Bahkan terdapat perlakuan seks oral yang jelas menyalahi undang-undang," ujarnya sambil mengingatkan bahawa ia sebagai suatu pengajaran kepada pemimpin negara yang lain.
Menurutnya, ini menggambarkan sikap kerajaan yang tidak serius dalam memerangi kerendahan moral seperti seks bebas.
"Saya tidak jelas dengan sikap Perdana Menteri yang menurutnya tidak membincangkan isu tersebut dalam mesyuarat kabinet semalam setelah 24 jam Chua membuat pengakuan secara terbuka," jelasnya.
Dalam nada kesal, Mahfuz berkata Abdullah sekadar berselindung daripada menjawab isu tersebut sambil menyatakan bahawa ia adalah isu peribadi walhal Chua kemudian dalam satu kenyataan perletakan jawatan semalam mengambil kira pandangan rakyat terhadap perlakuannya itu.
"Masalah ini bukan lagi masalah seseorang individu, malah ia berkaitan dengan seorang menteri kabinet. Abdullah kena ambil tanggungjawab moral untuk membersihkan kerajaan di bawah kepimpinannya dengan tidak mengizinkan mana-mana menterinya terlibat dengan kerendahan moral," tegasnya.
Ujarnya, Abdullah sepatutnya membuat tindakan tegas melucutkan jawatan Chua selepas beliau mengaku melakukannya.
"Ini tidak, Abdullah tidak buat apa-apa. Malah mesyuarat kabinet pun tidak mahu membincangkannya dengan alasan ia adalah isu peribadi," katanya lagi.
Mahfuz pada masa yang sama memuji tindakan berani Chua yang mementingkan pandangan rakyat, dengan membuat pertimbangan bahawa rakyat tidak dapat menerima apa yang dilakukannya kerana ia menjejaskan nama baik parti dan negara.
"Saya menghormati keputusan yang dibuat Chua. Sungguhpun begitu, beliau telah hilang kelayakan sebagai seorang pemimpin," katanya.
Sambil membandingkan tindakan disiplin yang pernah dikenakan kepada Sothinathan ketika menyokong kenyataan Ketua Pembangkang Parlimen, Lim Kit Siang, Mahfuz berkata Abdullah selaku Perdana Menteri seharusnya bertindak dengan lebih tegas dalam menangani kes Chua.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa Pengerusi MCA, Dato' Seri Ong Ka Ting agar memohon maaf kepada masyarakat Cina khususnya ahli MCA atas kenyataannya seolah-olah membenarkan kesalahan Naib Presidennya itu.
"Kenyataan Ong sangat memalukan. Bagaimana dia boleh kata tidak setuju dengan tindakan Chua, kemudian kononnya menghormati keputusan tersebut?" tegasnya.
Mahfuz dalam sidang yang sama meminta agar Chua tampil ke hadapan bagi mendedahkan salah laku pemimpin yang menjejaskan integriti kepimpinan negara.
"Jika Chua ada maklumat mengenai salah laku pemimpin yang lain, kita harap dia dapat tampil bagi membetulkan keadaan selaras dengan saranan Raja Dr Nazrin Shah yang mengingatkan agar rakyat perlu menolak pemimpin yang tidak bermoral," ujarnya lagi.
Tegasnya, pendedahan tersebut adalah demi kepentingan negara serta mewujudkan kepimpinan negara yang bersih dan bermaruah.
PAS juga kata Mahfuz berasa simpati dengan tekanan dan situasi yang menimpa keluarga Chua yang terpaksa berdepan dengan masyarakat dan masalah ini.
Namun katanya, rakaman tersebut tidak mungkin akan berlaku sekiranya tiada perlakuan dan orang yang melakukannya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak dakwaan sekiranya terdapat perancangan pihak tertentu termasuk pihak hotel bagi memastikan rakaman tersebut dibuat.
"Ini secara tidak langsung akan menjejaskan kredibiliti dan integriti pihak hotel yang jelas menunjukkan bahawa tiada elemen privasi pelanggan yang menginap di hotel tersebut," ujarnya. - mns-->
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment