KOTA BHARU, 24 Jan (Hrkh) -PAS sangsi Barisan Nasional (BN) mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat dan negara sekiranya BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terus mendapat mandat mentadbir negara. -->
Sebaliknya, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa meminta supaya BA diberi peluang memimpin negara, sekaligus menyelesaikan permasalahan yang tidak dapat diselesaikan kerajaan BN.
Menurutnya lagi, lebih lama masa diberikan untuk kepimpinan lemah seperti Abdullah, negara akan kehilangan arah tuju yang lebih jauh.
"Saya rasa rasa kepimpinan lemah kalau diberi seribu tahun juga tidak akan selesai masalah, malah masyarakat akan terus menjadi mangsa," katanya ketika diminta mengulas oleh wartawan berhubung permintaan Abdullah untuk mendapat mandat baru dalam pilihan raya umum nanti.
Perdana Menteri antara lain menyatakan bahawa beliau memerlukan masa untuk menunaikan program pembangunan yang dijanjikannya.
Menurut Abdullah, program pembangunan BN yang sedang dirancang memerlukan masa yang panjang (antara 20 hingga 30 tahun) sebelum dapat dinikmati rakyat.
Husam mengingatkan untuk pilihan raya umum yang dijadualkan dalam masa terdekat ini perlu di wujudkan perimbangan kuasa antara pemerintah dan pembangkang dan bukannya mandat besar kepada pemerintah sekali lagi.
"Masalah paling besar selepas pilihan raya umum 2004 ialah kerana terlebih kuasa atau 'over power' di mana BN ada kerusi 90 peratus di parlimen dan di beberapa negeri sifar pembangkang ," katanya.
Ini katanya menyebabkan BN merasa selesa dan tidak perlu bersungguh-sungguh menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat dan negara.
"Kita kena kena imbang kuasa, baru keluar peluh ya, kalau tidak berpeluh banyak lemak dan machinery tidak berjalan," ujarnya lagi.
Husam memberitahu bahawa terdapat dua isu membabitkan pentadbiran Abdullah iaitu pertama - dasar-dasar yang tidak sesuai. Kedua - kepimpinan yang lemah.
Kepimpinan yang lemah, kata beliau membawa kepada hilang kawalan kepada isu-isu besar masyarakat termasuk hilang kawalan harga barang, jenayah, moral, dadah dan sebagainya.
Husam dengan nada yakin berkata BA mampu menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan BN, termasuk isu masyarakat India, sekiranya diberi peluang memerintah.
"Kita boleh selesaikan (isu masyarakat India!) kerana falsafah kita berbeza dengan BN. Kita beri keadilan kepada semua pihak dan tidak patut mana-mana pihak di biar tertinggal," tegasnya.
Husam menjelaskan sekiranya orang Melayu dapat dibantu untuk terus bersaing dalam aktiviti ekonomi dan arus pembangunan negara, orang India juga perlu diberi bantuan yang serupa.
Cuma menurutnya masalah yang timbul kini ialah pendekatan yang digunakan. Konsep pendekatan yang digunakan Umno hanya terbukti menghasilkan beberapa kerat Melayu yang kaya raya tetapi majoriti masih menderita.
"Konsep ini salah dari awal, diberi masa lebih lama memerintah lebih ramai akan menderita," katanya.
Islam ujarnya mengutamakan keadilan tanpa mengira ras dan kaum dimana semua rakyat mesti menerima hak mereka yang asas iaitu keperluan perumahan, kemudahan pendidikan dan peluang perekonomian.
Oleh itu masyarakat India perlu dibantu dengan kemudahan perumahan, biasiswa pendidikan, pinjaman kewangan dan sebagainya.
Beliau menegaskan sekiranya Kerajaan Pusat masih tidak mempunyai formula untuk membantu masyarakat India terutama golongan pekerja estet, kelompok kaum itu akan terus daif, termasuk anak-anak mereka. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment