Wednesday, January 23, 2008

Daftar pemilih, DAP kesan 35 pengundi usia lebih 100 tahun

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Jan 24, 08
KUALA LUMPUR, 24 Jan (Hrkh) - Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) semalam mendedahkan nama 35 pengundi yang berusia lebih 100 tahun, termasuk yang lahir pada tahun 1880, dalam daftar pemilih di Petaling Jaya Utara yang diwartakan dalam suku tahun ketiga tahun lalu. -->
Setengah daripada mereka dilahirkan pada tahun 1880, dan ia bermakna mereka berusia 128 tahun, kata Penasihat Ekonomi parti itu, Tony Pua dalam satu laporan akhbar versi internet semalam.
Beliau percaya mungkin ada antaranya yang telah pun meninggal dunia, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membersihkan daftar pemilih, katanya.
Beliau juga menunjukkan kepada wartawan mengenai 21 alamat yang terdapat masing-masing mempunyai 20 orang pengundi berdaftar.
Ia mungkin kerana mereka yang telah berpindah dari alamat tersebut, tidak memaklumkannya kepada SPR untuk dikemaskini, katanya.
"Terdapat lebih daripad 20 orang dalam sebuah rumah. Ia jelas satu kesilapan, dan SPR mesti menyiasatnya,
Menurut Pua, terdapat juga 1,358 daripada 76,193 pengundi di Petaling Jaya Utara yang tidak mempunyai alamat kediaman yang lengkap.
"Ini membuat individu terbabit sukar dikesan kerana mereka tidak mempunyai nombor rumah. Mungkinkah mereka ini pengundi hantu yang dibawa masuk oleh Umno?" soalnya.
Sementara itu, Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San juga berkata, SPR melakukan terlalu banyak kesilapan maklumat dan ini menimbulkan masalah kepada pengundi berdaftar.
Beliau menerima aduan dari penduduk Seksyen 20 Petaling Jaya bahawa mereka didaftar untuk mengundi di dua kawasan berlainan.
"Seorang telah disenaraikan mengundi di Seksyen 20 Shah Alam manakala yang lainnya di Sekseyen 20 Petaling Jaya. Ini jelas kesilapan memasukkan maklumat.
"Mengapakah SPR menjadi begitu tidak cekap? Kita perlu senarai pemilih yang bersih dan dikemaskinikan," katanya.
Beliau juga membangkitkan isu di mana sejumlah 232 orang yang mendaftar melalui pondok DAP pada bulan Ogos 2006 hingga Disember 2007 belum lagi dimasukkan ke dalam senarai pemilih yang telah dikemaskini.

No comments: