Teluskah Kerajaan Terengganu?????Posted on Tuesday, November 14 @ 21:21:36 MYT by webmaster
Saya anak Terengganu. Anak jati negeri ulik mayang ini dibesarkan di Seberang Takir, sebuah perkampongan nelayan yang tidak indah, namun menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Dan, bila saya membaca laporan Malaysiakini yang memuatkan kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rosol Wahid mengenai projek-projek di Terengganu, saya seperti naik cemuuh (lagi!). Muak sungguh!Saya tidak menafikan kenyataannya bahawa sebahagian besar projek-projek yang terdapat di Terengganu telah diberikan kepada anak tempatan. Ini memang sangat benar sekali. Tetapi, seeloknya sila jelaskan siapakah anak tempatan itu? Malah, beliau seharusnya turut sama membentangkan bagaimanakah tatakaedah projek-projek itu telah diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang melibatkan anak tempatan tersebut?Apakah projek pembinaan lapangan Equestrian di Lembah Bidong, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Stadium Tertutup dan naiktaraf Lapangan Terbang di Gong Badak, Pembinaan Universiti Darul Iman Malaysia di Besut --> itu semuanya telah melalui suatu proses tender terbuka, ataupun ia telah dianugerahkan kepada puak-puak tertentu? Jika ada pun tender yang dilakukan, bukankah ia hanyalah proses untuk mengelabui mata khalayak, kononnya pemberian tender ini sudah terjamin ketelusannya?Demikian juga pembinaan jalanraya di seluruh Terenganu. Sejauh manakah beliau dapat memastikan bahawa memang tiada unsur kronisme dalam pembahagian tender-tender tersebut? Adakah pembinaan dan naiktaraf sesetengah jalanraya itu benar-benar mendesak, atau projek tersebut sengaja diada-adakan semata-mata memberi ruang untuk memunggah khazanah negeri? Mana lembaga berkecuali yang memantau kesemua projek-projek ini?Sementara itu, mengapakah kontraktor yang sudah hilang kredibiliti – kerana gagal dalam projek sebelumnya – masih lagi dipilih? Dan, bagaimanakah boleh berlaku dalam permohonan tender, tiba-tiba ada kontraktor terpilih yang harus menerima Joint Venture (JV) dengan mana-mana syarikat kontraktor misteri? Bahkan, mengapakah ada kontraktor yang telah dipilih melalui proses terbuka untuk membangunkan suatu projek tertentu, kemudian ditarik kembali atas alasan-alasan yang kabur?Di samping itu juga, tentang kesamaran projek penambakan pantai dan pendalaman sungai di Seberang Takir. Mengapakah penjanjian untuk kerja-kerja tersebut telah mempersetujui terma pembayaran berdasarkan secara meter per kiub? Nah, di mana untungnya terma ini kepada rakyat Terengganu --> yang awal-awal lagi sangat jelas memihak kepada kepentingan kontraktor tersebut?Ekoran keraguan ini, maka saya tidak hairan bila Dato’ Seri Idris Jusoh memohon agar pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa II diserahkan kepada anak-anak tempatan. Kerana definisi yang tepat kepada makna anak-anak tempatan ini ialah kalangan kroninya. Tuduhan ini bukan sebarangan. Apatah lagi melihat barisan exco Kerajaan Negeri Terengganu – yang rata-rata terdiri dari kontraktor – maka sangkaan ini tidaklah jauh tersasar.Sayang sungguh, Jawatankuasa Hisbah yang diwujudkan oleh Kerajaan PAS Terengganu di bawah pimpinan Tun Salleh Abas sebelum ini telah pun dihapuskan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak, barangkali ‘pembohongan bodoh’ puak-puak yang rakus ini mudah sekali dibongkar sekiranya dianggotai oleh mereka yang berintegriti. Tetapi, kini siapakah yang punya wewenang untuk melakukan pemantauan ini?Sebab itu, saya begitu cenderung memilih sikap untuk membenarkan semua serangan Tun Dr. Mahathir terhadap dominasi Patrick Badawi. Melalui Menteri Besar boneka, Terengganu telah dijajah buat kesekian kalinya setelah penjajahan Siam, Jepun dan British. Harta dari ghanimah politik kini sedang lahap dibahagi-bahagikan sesama pembesar. Manakala, bendahara menteri di Putrajaya pula kian haloba sembari menanti-nanti kiriman ufti yang berikutnya."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
asyik2 kroni,kabel la.bila nok maju.orang lain nk makan gape?????macam bapak aku kontraktor kelas D dah 10 thn haram projek tak penah dapat.cemuh doh isi tender,nasib ade keje lain.......
Post a Comment