Monday, November 27, 2006

Husam minta PM ambilkira pandangan timbalannya

Tue Nov 28, 06 05:35:55 AM Oleh Abu Bakar Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima dengan dada terbuka isyarat halus timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai aliran pelaburan masuk dari Singapura ke negara ini yang lebih besar dengan begitu ketara.
Ketika menyampaikan ucaptamanya pada persidangan serantau London Business School bertema "Mengembang di Asia: Cabaran-cabaran dan Peluang-peluang Baru" di sini semalam, Najib berkata, aliran pelaburan masuk dari Singapura adalah ketara lebih besar.
Beliau mengambil contoh kejayaan syarikat pegangan pelaburan Singapura, Temasek yang memasuki Malaysia dengan ketara dalam sejak beberapa tahun lalu.
"Bagaimanapun, sebaliknya, kita difahamkan bahawa usaha untuk mengenal pasti pemilikan-pemilikan yang sesuai di Singapura adalah lebih sukar bagi syarikat-syarikat Malaysia disebabkan oleh struktur ekonomi Singapura," katanya.
Sehubungan itu, Najib menggesa pihak berkuasa di Singapura supaya mengamalkan tahap sikap timbal balas yang lebih besar dalam mempermudah lebih banyak pemilikan Malaysia di dalam aset-aset di pulau itu.
Menurut beliau, pengaliran pelaburan duahala yang samarata dan seimbang adalah mempunyai kepentingan dan faedah bersama kepada kedua-dua negara.
Mengulas apa yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdaan Menteri itu, Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan menyatakan dalam blognya, http://cetusan-hati.blogspot.com/, "akhirnya kita mengakui Singapura sudah terkedepan menguasai kepentingan kita dan kita sendiri dengan mudahnya mengizinkan mereka berbuat demikian.
"Hari ini, kita merayu untuk mereka membuka ruang kepada kita untuk melakukan hal yang sama di negara mereka".
Beliau juga membangkitkan bahawa lebih empat bulan lalu Timbalan Perdana Menteri pernah menyatakan kerajaan akan mendapatkan butiran lanjut berhubung aktiviti pembelian kepentingan syarikat-syarikat besar tempatan oleh entiti asing terutamanya dari Singapura yang dilihat semakin rancak sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Hingga kini, kita tidak dimaklumkan perkembangan usaha Najib mendapatkan butiran berkenaan. Ada butirannya atau tidak? Butirannya sudah terkumpul atau belum? Kalau belum terkumpul, di mana sangkutnya?" tanya beliau.
Bagaimanapun, apabila Najib berkata, aliran pelaburan masuk dari Singapura ke negara ini lebih besar dengan begitu ketara, Husam bertanya: "Bolehkah ia dianggap bahawa Timbalan Perdana Menteri telahpun mempunyai butiran tersebut?"
Jika Malaysia awal-awal lagi mempertimbangkan isu ini, katanya lagi, negara boleh mengambil pilihan menukarkan kepentingannya dengan kepentingan Singapura dan tidak hanya menjual kepentingan negara ini untuk mengaut keuntungan segera sama seperti sesetengah usahawan bumiputera yang selalu ditegur oleh kerajaan.
"Swap atau pertukaran kepentingan, akan membolehkan kita juga menguasai aset Singapura. Tetapi ini tidak berlaku. Kita ambil cash. Hari ini kita merungut.
"Alangkah elok, jika Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, mengambil kira pandangan Timbalannya sebelum ini, dalam isu yang penting ini. Nampaknya ia tidak berlaku. Penasihat-penasihat lain lebih berpengaruh, barangkali," kata Husam.

No comments: