Pelancaran Bersih akan diumumkan pada 23 November
Fri Nov 17, 06 05:49:54 PM Oleh Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Hrkh) - Satu sidang media mengenai pelancaran 'Bersih' iaitu sebuah jawatankuasa yang dianggotai parti pembangkang utama iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP serta hampir 20 Badan Bukan kerajaan (NGO) akan diadakan secara terbuka di Parlimen pada Khamis, 23 November ini.
Jurucakap Bersih yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi berkata, penubuhan Bersih lebih memfokus kepada agenda keadilan dan kebebasan pilihan raya.
Sehubungan itu katanya, pada pelancaran tersebut akan diumumkan beberapa tuntutan utama kepada pihak media.
Katanya lagi, sidang media itu akan diketuai presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Muhamud.
“Penubuhan Bersih bukan sesuatu yang tiba-tiba tetapi sudah mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk ditubuhkan.
“Kami adakan bengkel-bengkel tetapi dalam bentuk tertutup sebab kita tidak mahu media tahu termasuk bertemu dengan DAP terutamanya selepas pilihan raya umum 2004 yang lepas,” katanya yang ditemui di sebuah hotel dekat sini, hari ini.
Katanya, hubungan dengan DAP adalah atas agenda pendemokrasian dan atas sebab itu katanya pada hari tersebut mereka akan umumkan bersama beberapa program yang akan dilancarkan termasuk di peringkat kebangsaan, zon-zon dan negeri-negeri di seluruh Malaysia.
“Tuntutan kita ini akan dikemukakan kepada kerajaan bagi menghadapi pilihan raya,” katanya lagi.
Ini katanya, pilihan raya 2004 adalah paling kotor dalam sejarah politik tanah air dan tidak wujud keadilan, kebebasan media, ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya. - mns
No comments:
Post a Comment