Sunday, April 15, 2007

PRU-12: Jentera Penerangan digesa perguna teknologi terkini

Intan Abdullah Mon Apr 16, 07 02:15:09 PM
GOMBAK, 16 April (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang meminta supaya seluruh jentera penerangan menggunakan teknologi yang terkini dalam usaha menangkis isu semasa bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi.
Menurut beliau, masyarakat Malaysia kini tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa yang berlaku di dalam negara kerana telah dimanipulasikan oleh jentera penerangan kerajaan yang terdiri daripada media cetak, elektronik dan internet.
Beliau berkata demikian, ketika merasmikan 'Seminar Penerangan Isu-isu Semasa Pilihan Raya Umum 12' di Dewan Dato' Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak baru-baru ini.
Menurutnya lagi, seluruh jentera penerangan perlu memiliki kefahaman yang betul terhadap peranan dan fungsi teknologi maklumat dalam memberi maklumat dan penjelasan terhadap perkara semasa bagi menentang penipuan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang disifatkan sebagai kemungkaran penerangan.
Beliau menegaskan bahawa di samping meneruskan cara yang telah sedia ada, penerangan parti perlu menguasai segala kemahiran dan teknologi terkini.
"Saya berharap agar seminar ini akan menjadi satu medan untuk bermuhasabah bagi memperbaiki kelemahan serta menilai kembali strategi bagi menampung kekurangan yang ada,"katanya.
Abdul Hadi juga memperingatkan bahawa segala gerakerja yang dijalankan umpama 'jihad akbar' yang paling afdal demi memastikan kejayaan penyampaian maklumat ini kepada massa.
Seminar yang menerima kehadiran sangat menggalakkan ini disertai oleh jawatankuasa penerangan di peringkat negeri, cawangan dan kawasan.
Program sehari tersebut turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang; AJK PAS Pusat, Mahfuz omar; AJK PAS Pusat,Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, ustaz Abdul Ghani Shamsudin; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefli Ahmad; Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan AJK Dewan Pemuda PAS Pusat, Hanipa Maidin. - mks.

No comments: