Saturday, April 14, 2007

BA punyai peluang cerah di Dun Ijok

Maslan Yusoh Sat Apr 14, 07 06:39:36 PM
JELI, 14 April (Hrkh) – PAS menyifatkan pilihan raya kecil Dun Ijok mempunyai kelainan berbanding pilihan raya kecil lain yang diadakan selepas pilihan raya umum April 2004.
Antara faktornya beberapa nama calon tempatan yang dikenali ramai bakal diketengahkan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berbanding calon MIC.
Kelebihan itu memberi lonjakan baru untuk membuat kejutan seperti di Lunas. Situasi Ijok benar-benar berbeza berbanding pilihan raya kecil Kuala Berang, Pengkalan Pasir, Batu Talam dan Machap baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, ada beberapa nama yang mampu melonjakkan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya kecil tersebut, berbanding pilihan raya kecil sebelum ini.
“PAS sudah memberi komitmen untuk membantu KeADILan merebut kerusi tersebut. Dan pemimpin utama PAS juga akan turut hadir pada hari penamaan calon yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“PAS juga melihat ada beberapa nama besar yang merupakan anak tempatan bakal mewakili KeADILan pada pilihan raya tersebut. Ini tentunya akan memberi satu kejutan kepada pihak lawan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Jeli di Maahad Al Sabirin dekat sini, hari ini.
Pilihan raya kecil Ijok diadakan ekoran kematian wakil rakyat MIC kawasan itu Dato’ K Sivalingam akibat serangan jantung di Lapangan Terbang Chennai, India 4 April lepas.
Pada pilihan raya umum lalu, Sivalingam mengatasi calon KeADIlan, Abdul Rahman Moharam dengan majoriti 1,649 undi.
Dun Ijok mempunyai pengundi Melayu sebanyak 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59 peratus. Jumlah pemilih berdaftar seramai 12,272 orang termasuk 39 pengundi pos.
Pilihan raya terbabit akan diadakan pada 28 April ini.
Ramai menjangkakan KeADILan akan menurunkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Bendahari KeADILan Pusat.
Baru-baru ini Badan Perhubungan PAS Selangor berharap Abdul Khalid yang juga Pengerusi KeADILan Selangor diletakkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.
Menurut Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir wajar sekali Khalid dicalonkan mewakili KeADIlan memandangkan beliau merupakan anak tempatan yang dikenali ramai.
Nasharuddin berkata, pemilihan calon yang sesuai begitu penting pada pilihan raya tersebut bagi membangkitkan semangat kepada BA bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.
Oleh itu beliau berkeyakinan KeADILan akan meletakkan calon berwibawa yang juga anak tempatan pada pilihan raya tersebut.
“PAS memberi laluan kepada KeADIlan memandangkan ia merupakan kerusi tradisinya dan akan membantu parti itu berkempen. Pilihan raya kali ini dianggap lebih sengit,” katanya.
Hadir sama pada mesyuarat agung PAS Kawasan Jeli kali ke-30, Yang Dipertuanya, Haji Apandi Mohamad, timbalannya, Ustaz Abdullah Yaakub dan Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Chek Hashim Sulaima

No comments: