Thursday, April 19, 2007

Kecoh di Ijok, Khairy dalangnya!

Saidah Hairan Thu Apr 19, 07 03:53:54 PM
BATANG BERJUNTAI, 19 April (Hrkh) - Provokosi yang dilakukan oleh Pemuda Umno diketuai Naibnya, Khairy Jamaluddin jelas membuktikan bahawa mereka dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan simpati daripada rakyat khususnya di Dun Ijok.
Perarakan penyokong, pimpinan dan calon (BA), KeADILan dan PAS tersekat di hadapan sekolah tempat calon, pimpinan dan penyokong BN berkumpul lebih kurang 500 meter dari dewan orang ramai, Batang Berjuntai.
Penyokong BN yang memenuhi jalan raya bukan sahaja menghalang perarakan calon dan penyokong KeADILan untuk menuju ke dewan orang ramai, tetapi menjadikan lalu lintas sesak selama 20 minit.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar kesal dengan peristiwa yang berlaku di sepanjang penamaan calon Dun Ijok yang tidak pernah disaksikan di sepanjang pengalamannya menyertai pilihan raya.
Beliau berkata, kali ini merupakan satu pilihan raya yang paling kucar-kacir di hari penamaan calon yang pernah dialami di sepanjang pengalamannya menghadiri pilihan raya.
Katanya, di awal perarakan calon PKR telah dihalang sama ada dengan kereta atau motorsikal yangt dibenarkan memenuhi jalan.
Begitu juga tambah beliau, penyokong-penyokong BN juga dibenarkan untuk membuat sekatan jalan dan menghalang calon serta penyokong PKR menuju ke dewan orang ramai.
"Tempat penamaan calon dan pembahagian tempat untuk penyokong BA dengan BN tidak diletakkan dengan cara yang jelas, ini adalah suatu kekecohan yang amat membimbangkan," tegasnya.
Beliau menyeru terutama kepada pihak polis supaya lebih bertanggungjawab supaya keselamatan dan kelangsungan perjalangan ceramah dan pilihan raya pengundi nanti akan berlaku dengan baik.
Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali kesal dengan kehadiran Tan Sri Musa Hassan tetapi beliau gagal memberikan arahan supaya tidak berlaku pertembungan di mana kedua-dua parti terpaksa bertembung.
"Jangan salahkan kami sebab itu sahaja laluan yang dibenarkan, saya terkejut saya lihat persiapan kucar-kacir dalam penamaan calon Ijok hari ini," katanya.
Beliau berkata, kerana pemimpin tidak dibenarkan masuk hidangan tidak disiapkan dalam amalan biasa di hari penamaan calon pemimpin BN dan parti yang bertanding dibenarkan masuk sekitar 10 minit.
Menurut beliau, mengikut kebiasaan di hari penamaan calon disediakan jamuan dan dihormati pemimpin di kedua-dua pihak.
Katanya, mengapa hari ini tidak dibenarkan sebab itu penyokong KeADILan berasa kecewa kerana Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail turut dihalang masuk ke dalam kawasan dewan orang ramai.
"Begitu juga dengan isteri calon, Puan Seri Salbiah tidak dibenarkan masuk ini apa punya amalan," katanya.
Beliau kecewa dengan sikap dan tindakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang cuba mengambil tugas pegawai Polis untuk menyelesaikan pertembungan yang berlaku ketika masuk ke dalam kawasan dewan Orang ramai.
"Saya tegur beliau, kamu Menteri Besar kamu bukan Pegawai Polis. Saya hanya mendengar arahan daripada Pegawai Polis saya tidak mendengar arahan daripada MB kerana dia ada kepentingan di hari penamaan calon hari ini," tegasnya.
Beliau kecewa kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal untuk menguruskan penamaan calon dengan baik manakala pihak polis juga gagal mententeramkan keadaan sehingga berlaku pertembungan dan sedikit kekecohan
"Ini bukan salah kami, kita telah memberi jaminan, saya sendiri telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis supaya keadaan menjadi lebih tenteram, tetapi semuanya ini berpunca daripada kegagalan pihak polis menyediakan laluan yang berasingan bagi kedua-dua parti," katanya.
Beliau yakin ini semua disebabkan kelemahan pentadbiran di bawah Khir Toyo dan bertambah hairan dengan kehadiran Musa Hassan.
"Mengapa beliau berada di hari penamaan calon, apa tanggungjawab beliau berada di hari penamaan calon, saya harap supaya perkara ini tidak berulang," tegasnya ketika ditemui selepas berlaku kekecohan dengan pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Sementara itu, Adun Sungai Pinang, Teng Chang Khim berasa hairan dengan perangai menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang berlagak macam samseng.
Beliau dengan berani mengatakan, sikap yang ditunjukkan oleh Khiry amat mendukacita kerana daripada menantu seorang pemimpin di negara ini.
"Saya berharap sebelum Abdullah dapat memimpin negara ini dengan baik, lebih baik beliau mengajar bagaimana harus menantunya menunjukkan sikap yang baik di khalyak," katanya.
Dalam perjalanan menuju ke dewan orang ramai, beliau melihat seorang wakil rakyat BN yang bersalin pakaian di tepi jalan raya.
"Saya sempat mengambil gambarnya dan jika dicabar saya akan tunjukkan gambarnya, bagaimana wakil rakyat BN bersalin pakaian di tepi jalan raya," soal beliau.
Beliau berasa itu merupakan satu tauladan yang amat buruk ditunjukkan oleh wakil rakyat BN dan berharap ia dapat dibetulkan sebelum hendak memenangi apa-apa pilihan raya.
Ketua Wanita KeADIlan Pusat, Fauziah Salleh menjelaskan, sebelum ini pihak Polis telah memaklumkan bahawa laluan daripada pekan Ijok ke dewan orang Ramai hanya untuk calon dan penyokong KeADILan dan pihak Polis akan pastikan BN ada laluan yang lain.
Beliau kesal kerana apa yang berlaku iaitulaluan untuk penyokong dan calon keADILan disekat beberapa kali oleh Pemuda Umno yang dipimpin Naib Ketuanya, Khairi Jamaluddin.
"Pemuda Umno membuat sekatan dengan menolak penyokong keADILan sehingga ramai pimpinan PKR tersepit dan mahu jatuh," jelasnya.
Ketika itu katanya, pihak Polis tidak ada di situ untuk menjaga keselamatan dan itu merupakan suatu tindakan yang tidak adil di mana polis seharusnya bersikap profesional tetapi perkara itu tidak berlaku di hari penamaan calon.
Sementara itu katanya, KeADILan telah membuka bilik gerakan di semua peti undi dan petugas-petugas sudah mula menjalankan peranan masing-masing.
Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Ahmad Shabki Mohd Yusuf kesal dengan sikap Pemuda Umno yang jelas kelihatan ingin mengadakan provokasi dalam kempen pilihan raya Dun Ijok kali ini.
"Kita memberi amaran kepada Pemuda Umno sekiranya mereka tidak dapat mengawal cara mereka berkempen pada kali ini, kita bimbang penyokong-penyokong BA juga tidak dapat mengawal keadaan," tegasnya.
Sehubungan itu beliau berharap supaya semua pihak dapat menjalankan kempen dengan cara terhormat dengan mengikut segala undang-undang yang ditetapkan dalam pilihan raya. - mks.

No comments: