Monday, April 16, 2007

Salahguna Akta Polis - PAS akan saman Kerajaan Malaysia

Harakahdaily Tue Apr 17, 07 01:25:05 PM
KUALA LUMPUR, 17 April (Hrkh) - PAS akan memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dengan meminta mahkamah memerintahkan kerajaan memansuhkan keseluruhan Seksyen 27 dan 27 (A) Akta Polis 1967, kerana ia memberi ruang kepada pihak polis melakukan tindakan yang bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara dan demokrasi.
Ketua Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Mohamed Hanipa Maidin berkata, pihaknya akan memfailkan saman atas nama Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar terhadap kerajaan, dalam waktu terdekat ini.
Menurutnya keputusan untuk menyaman kerajaan dibuat dalam mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahad lepas.
Hanipa menjelaskan kedua-dua akta berkaitan dengan perhimpunan di tempat awam yang memerlukan lesen daripada Ketua Polis Daerah dan kuasa polis untuk menghentikan sebarang aktiviti di tempat persendirian.
Menurut beliau, dua Inkuiri Awam yang dikendalikan Suhakam berhubung dengan keganasan polis di Lebuhraya Tol Kesas dan Perhimpunan Anti Tol di KLCC mencadangkan supaya akta tersebut dimansuhkan.
Beliau berkata, saranan tersebut terkandung dalam semua laporan Suhakam secara terperinci dalam kedua-dua kes terbabit.
Manakala katanya, Suruhanjaya Di Raja Bagi Meningkatkan Operasi Polis Di Raja Malaysia turut mencadangkan kedua-dua akta tersebut dipinda.
"Saman ini akan difailkan kerana pihak Suhakam telah dua kali mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan Seksyen 27 dan 27 (A), namun sehingga kini kerajaan tidak berbuat apa-apa," tegasnya.
Setakat ini kata beliau, empat kes di Johor, masing-masing satu kes di Pahang dan Negeri Sembilan dibicarakan di bawah akta tersebut, semuanya dimenangi oleh PAS.
"Terbaru dalam kes Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di Jelebu, mahkamah membebaskan beliau dan semua yang tertuduh.
"Setakat ini, semua pemimpin dan ahli PAS yang didakwa berhimpun secara haram di bawah akta tersebut, dibebaskan," jelas Hanipa. - mr

No comments: