Sunday, April 29, 2007

Bimbang rakyat sokong pembangkang – BN terus nodai demokrasi

Salman Hussin Mon Apr 30, 07 11:09:41 AM
SENAI, 30 April (Hrkh) – Kerajaan Umno-Barisan Nasional terpaksa bertindak membelakangkan amalan demokrasi demi untuk mengekalkan kuasa mereka kerana mereka tahu sekiranya amalan demokrasi dilaksanakan sepenuhnya nescaya rakyat akan menolak mereka.

“Mereka terpaksa melakukan tindakan yang menjijikkan serta tidak bermaruah ini bagi membolehkan rakyat terus menyokong mereka dan mereka boleh terus mengekalkan kuasa, kata Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman, di sini.
“Pencabulan terhadap amalan demokrasi ini tidak pernah berlaku di zaman Tunku Abdul Rahman dahulu, ketika itu seluruh rakyat mendapat kebebasan dan hak untuk bersuara, begitu juga kebebasan parti-parti pembangkang untuk berkempen semasa Pilihanraya diadakan.
Penafian amalan demokrasi ini mula berlaku ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa, sedikit demi sedikit kebebasan rakyat khususnya parti-parti pembangkang dinafikan, katanya semasa berceramah di Taman Senai Utama, dekat sini, baru-baru ini.
“Beliau telah melakukan pindaan demi pindaan terhadap mana-mana peruntukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dilihat boleh memberi ruang kepada pembangkang untuk menarik sokongan rakyat.
“Selain itu pindaan ini juga bertujuan untuk menyempitkan lagi ruang yang ada, tindakan ini telah menyukarkan pembangkang, sebab itu kesannya sehingga hari ini pembangkang begitu sukar untuk menyampaikan mesej kepada rakyat, katanya.
“Mereka terpaksa bertindak demikian setelah melihat sokongan rakyat terhadap pembangkang terus meningkat terutama rakyat yang tinggal di bandar dan juga di negeri-negeri yang kuat berpegang dengan ajaran Islam seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah," tegasnya.
Katanya lagi, jika mereka tidak menyekat kebebasan ini sudah tentu rakyat akan menolak mereka kerana rakyat sudah menyedari dan dapat melihat berbagai kegagalan serta amalan tidak sihat yang dilakukan sepanjang Umno-Bn memerintah negara ini.
Mazlan yang juga Ketua Penerangan PAS Johor, seterusnya berkata, tidak hairan jika pembangkang begitu sukar untuk menang dalam pilihanraya, ini disebabkan ruang bagi pembangkang terlalu sempit malah hampir tiada sama sekali.
“Walau pun hari ini mereka berkuasa, mereka boleh gunakan sepenuhnya SPR, Polis, dan juga seluruh jentera kerajaan tanpa sedikit pun merasa malu atau bersalah untuk kepentingan politik mereka tetapi kita tetap yakin dan percaya suatu ketika nanti mereka akan jatuh juga seperti yang berlaku ke atas Kerajaan Firaun, tegasnya lagi. - mr

No comments: