Sunday, April 15, 2007

Najib, Khir Toyo pukul canang lawan Khalid Ibrahim di Ijok

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Apr 16, 07 11:31:40 AM
KUALA LUMPUR, 16 April (Hrkh) - Walaupun proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Ijok akan diadakan 19 April ini (Khamis), namun Barisan Nasional (BN) yang dilihat bimbang dengan senario sokongan rakyat kepada pembangkang telahpun memulakan persiapan bagi menghadapi KeADILan dan seluruh rakyat di Ijok.
Kebimbangan BN semakin memuncak apabila Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor mengancam meletakkan jawatannya jika tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Thirumoorthy, 55, seorang guru sekolah menengah, mendakwa 18 ketua cawangan daripada 36 cawangan MIC di kawasan pilihan raya Ijok itu akan turut meletakkan jawatan bersamanya.
Thirumoorthy yang menjadi ketua bahagian sejak 1994, berkata beliau difahamkan calon BN bukan dari kalangan ahli bahagian MIC Kuala Selangor.
Presiden MIC Dato' Seri S.Samy Vellu dalam satu laporan media menyatakan beliau tidak akan melayan tuntutan Thirumoorthy itu. "Ia adalah hak Presiden MIC untuk memutuskan calon. Pengerusi BN (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah meluluskan nama calon. Saya juga memaklumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo," katanya pada sidang media di Batang Berjuntai.
Thirumoorthy mendakwa semua usaha kerasnya berkempen untuk calon-calon MIC, kebanyakannya orang dari luar Ijok atau luar Kuala Selangor, sejak beberapa pilihan raya lepas tidak dihargai oleh pucuk pemimpin parti itu.
Begitupun krisis dalam MIC tercetus, kebimbangan BN juga dilihat leboih serius apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memukul canang meyakinkan juak-juak BN bahawa mereka bersedia menghadapi jentera KeADILan, kata Ketua Penerangan KeADILan Selangor, Ahmad Zaki Yamani Zainon.
Menurut Ahmad Zaki, Khir Toyo menyatakan secara khusus bahawa BN bersedia menghadapi Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ijok meskipun KeADILan belum membuat keputusan pasti dan belum mengumumkan calonnya.
(Tan Sri Khalid adalah Bendahari KeADILan Pusat dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie selain tokoh Melayu yang banyak berjasa kepada sektor perladangan negara).
Beliau (Khir Toyo) juga telah merasmikan upacara pecah tanah penentuan arah kiblat Masjid Ubudiah yang sudah sekian lama dijanjikan kepada penduduk Ijok, kata Ahmad Zaki.
Meriam lebih besar
"Mungkin selepas ini 'meriam lebih besar' dari BN akan merasmikan upacara pecah tanah untuk masjid yang sama berkali-kali. Mungkin juga pecah tanah untuk dewan solat, pejabat, tempat wuduk, tandas dan sebagainya akan diasing-asingkan dan dilakukan oleh ‘tokoh-tokoh’ BN yang berlainan,"kata Ahmad Zaki.
Di Batang Berjuntai, pusat pelupusan sampah telah segera ditutup, meskipun sebelum ini penduduk tempatan telah berulang kali membuat bantahan, malah pernah membuat demonstrasi selama sebulan di situ tetapi ia tidak pernah diendahkan, katanya.
"Selepas ini puluhan, malah mungkin ratusan juta ringgit akan ditaburkan BN di Ijok. Bukan wang BN, tetapi wang negara. Pelbagai projek akan diumumkan dan dimulakan, meskipun tidak semestinya disiapkan. Perkara ini sudah menjadi rutin kepada mereka yang mengikuti pilihan raya kecil,"katanya.
Wang panas beri kesan kepada pengundi
Hakikatnya kemasukan wang panas ini sebenarnya memberi kesan kepada penduduk setempat dan perkara yang sama akan berlaku kepada pengundi di Ijok, katanya dalam satu komentar mengenai pilihan raya kecil Dun Ijok semalam.
Namun katanya BN menerima sedikit tamparan apabila laporan media arus perdana pada 14 April menyiarkan temubual dengan seorang penduduk Ijok yang menyatakan bahawa, “Pembangunan bukan segala-galanya.”
"Beliau mahu seorang wakil rakyat yang benar-benar mendampingi rakyat. Terima kasih warga media tersebut kerana menyiarkan sentimen sebenar masyarakat," katanya.
Justeru, aktivis keADILan dan seluruh Barisan Rakyat memikul peranan besar meyakinkan kesemua 12,272 pengundi di Ijok untuk memilih wakil rakyat dan bukan wakil BN.
Gerak kerja KeADILan siap sedia
Untuk itu keADILan Selangor telah menugaskan setiap Bahagian KeADILan di Negeri Selangor ke daerah-daerah mengundi tertentu bagi memudahkan penyusunan gerak kerja dan penyelarasan, katanya.
Di samping itu, bantuan tenaga kerja secara sepenuh masa adalah sangat-sangat diperlukan sekarang dan bukan sekadar lawatan dan rombongan sambil belajar ke Ijok, katanya.
Menurut Ahmad Zaki, keADILan mengalu-alukan bantuan daripada teman-teman PAS, DAP dan aktivis KeADILan dari seluruh negara, dengan bantuan itu perlu disusun secara teratur kerana saiz kawasan Ijok yang kecil dan bagi memastikan tenaga manusia yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya secara optimum.
Sementara Biro Pilihan Raya Pusat, KeADILan akan memainkan peranan menyelaras petugas dan bantuan dari seluruh negara.
Sementara Bilik Gerakan Pilihan Raya KeADILan Selangor yang diketuai Ketua Bahagian Selayang, Abdul Rahim Abdul Wahab akan mengendalikan tenaga kerja dari Selangor dan operasi lapangan apabila petugas dari luar Selangor telah ditugaskan ke daerah mengundi tertentu.
"InsyaAllah dengan sokongan dan bantuan semua, kita akan sekali lagi melakar kejayaan dalam pilihan raya kecil. Percayalah dan doakan," katanya.
Pilihan raya kecil Dun Ijok diadakan berikutan kematian Adunya, Dato' K.Sivalingham.Proses penamaan calon akan diadakan pada 19 April ini sementara pembuangan undi pada 28 April ini.
Pilihan raya ini dijangka akan menyaksikan calon BN menentang calon KeADILan, dan bebas bagaimanapun kedua-dua parti yang menyatakan hasrat bertanding belum memutuskan nama-nama calonya.

No comments: