Wednesday, April 18, 2007

Tabur janji pilihan raya bukan rasuah, SPR bersekongkol bersama BN

Intan Abdullah Thu Apr 19, 07 11:37:17 AM
KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh) - Kenyataan Pengerusi SPR, Dato' Abdul Rashid Abd Rahman yang membenarkan kerajaan menabur janji ketika berkempen menunjukkan bahawa mereka dilihat berpihak kepada parti pemerintah yakni Barisan Nasional (BN), ujar Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali
Dalam akhbar The Sun 17 April lalu Pengerusi SPR , Rashid Abd Rahman telah mengisytiharkan bahawa janji-janji pembangunan dari pihak kerajaan tidak boleh dikira sebagai sogokan membeli undi.
Katanya para menteri dan pegawai-pegawai kerajaan ini sekadar menjalankan tugas mereka, yang salahnya jika calon yang membuat janji dan menyogok.
Mustafa berkata umum sedia maklum bahawa amalan politik wang sebelum dan semasa pilihan raya telah menjadi budaya BN tanpa mempedulikan apa yang terjadi.
Beliau yang tidak begitu setuju dengan tindakan SPR yang membenarkan kerajaan menabur janji pembangunan semasa berkempen dalam pilihan raya berkata sebelum ini tindakan tersebut boleh dianggap sebagai memberi rasuah kepada pengundi dan ia menyalahi peraturan pilihan raya.
"Jika ia telah dibenarkan berlaku dalam proses pilihan raya, maka ia adalah satu perkara yang tidak bagus daripada sudut keadilan," katanya tegas.
Mustafa turut mengkritik tindakan SPR yang sepatutnya bersifat 'neutral' tanpa memperlihatkan ia menyebelahi mana-mana pihak kerana sebelum ini ia adalah suatu tindakan yang dianggap melanggar peraturan, di samping mempertikaikan bahawa mengapa ia tidak dibenarkan sebelum ini.
Beliau mengesyorkan agar SPR mengambil sikap untuk berdiam diri atau 'silent' terlebih dahulu dan beliau juga melihat perkara ini tidak diputuskan secara serius oleh SPR serta hendaklah mengkaji dengan lebih mendalam sebelum mengumumkannya.
Semalam Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mengumumkan peruntukan RM36 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk keperluan rakyat di kawasan Ijok dalam tempoh dua minggu ini. - mks.

No comments: