Sunday, April 15, 2007

Saidah Hairan Sun Apr 15, 07 03:53:54 PM
KUALA LUMPUR, 15 April (Hrkh) - Pimpinan PAS dan KeADILan akan mengadakan perbincangan bersama bagi memutuskan sama ada mahu menyertai atau tidak pilihan raya Dun Ijok (N11) pada 28 April nanti.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan kemungkinan memboikot pilihan raya di Ijok akan diputuskan bersama pimpinan BA.
Bagaimanapun, katanya, PAS tetap berpegang dengan prinsip supaya demokrasi khususnya dalam pilihan raya dapat dipulihkan.
"Pilihan raya yang adil itu merupakan suatu perjuangan yang mesti diteruskan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan PAS Pusat, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang tadi.
Berhubung cadangan Pemuda PAS Pusat supaya memboikot pilihan raya di Ijok katanya, itu merupakan perkara biasa dan segala keputusan tetap bergantung kepada keputusan PAS Pusat.
Menurut beliau, mesyuarat PAS Pusat membincangkan persediaan muktamar sempena tahun pemilihan yang akan diadakan Jun nanti di Putik, Kelantan.
"Kita akan menguatkan semangat parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.
Dalam mesyuarat Pemuda PAS Pusat, 14 April (Sabtu), dewan itu bersepakat untuk memboikot pilihan raya di Dun Ijok dan cadangan itu akan dibawa kepada keputusan PAS Pusat.
Sebelum ini PAS dan KeADILan telah berjaya memboikot pilihan raya di Dun Batu Talam.
Hari penamaan calon Dun Ijok (N11) akan diadakan 19 April, Khamis nanti.
Kerusi Ijok kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Dato' K Sivalingam pada 4 April lalu di Chennai, India kerana diserang sakit jantung. - mks.

No comments: