Wednesday, April 4, 2007

Anwar, Mahathir dan Ku Li disaran bentuk Gagasan Baru

Azamin Amin Wed Apr 04, 07 03:31:23 PM
KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Atas dasar menyelamatkan kepentingan negara dan membela nasib rakyat jelata, ketiga-tiga tokoh ini disarankan supaya membentuk satu 'Gagasan Baru' bersama parti-parti politik yang lain untuk memastikan kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan dapat diperbetulkan semula.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata pertemuan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dengan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini dilihat sebagai satu suasana dan pendekatan yang positif daripada kedua-dua belah pihak yang sanggup mengenepikan sengketa dan perbalahan peribadi demi mengutamakan masa depan negara yang telah 'dirosakkan' dan 'dirojakkan' oleh barisan kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Walaupun mereka pernah 'bertembung' pada tahun 1987, namun kini pandangan dan persepsi mereka selari terhadap 'kebobrokan' kerajaan yang sedia ada," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Dan ini membuktikan lagi Abdullah dan kerajaan Barisan Nasional sekarang tidak berupaya memulihkan semula masalah ekonomi, kepincangan politik serta memerangi gejala rasuah yang menggugat negara,apatah lagi imej buruk di mata dunia" katanya lagi yang turut mengalu-alukan 'movement positif' kedua-dua tokoh tersebut.
Dengan gagasan itu katanya akan lebih memantapkan lagi perjuangan membela nasib rakyat disamping mempertahankan maruah negara yang kian terancam akibat 'kegelojohan' dan sikap tidak cerdik para pemimpin BN.
Kepentingan 25 juta rakyat Malaysia perlu diutamakan
Beliau juga turut berharap Dato' Seri Anwar Ibrahim dapat melupakan seketika krisis 1999 yang membabitkan beliau dengan Tun Mahathir demi mencari jalan penyelesaian dan akan dapat duduk semeja bersama-sama PAS untuk memastikan masa depan negara terjamin.
"Saya faham Anwar sukar untuk melupakan kepedihan dan penganiayaan terhadap dirinya namun untuk kepentingan 25 juta rakyat Malaysia,ianya perlu diutamakan terlebih dahulu," katanya.
Gagasan Baru ini mesti dibentuk segera meskipun Tun dan Ku Li masih di dalam Umno dan inilah saja jalan dan platform yang terbaik untuk kedua-dua tokoh ini berjuang memandangkan Umno tidak langsung boleh dijadikan wadah dan sehingga kini Umno sendiri mengkesampingkan pendapat kedua-dua tokoh ini.
"Lihat sahaja, pandangan dan kritikan meraka disisihkan kerana tidak selari dengan Umno walaupun ianya melibatkan negara bahkan tidak diberi sebarang liputan oleh media tentang kedua-dua tokoh ini termasuk Anwar Ibrahim," katanya.
Tambahnya lagi sejarah juga turut membuktikan kesediaan PAS memberi ruang dan peluang kepada Tun dan Ku Li untuk berada di pentas PAS dalam menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap Umno pada suatu ketika dahulu dan tidak mustahil untuk PAS dan ketiga-tiga tokoh ini merealisaikan gagasan tersebut.
Dedahkan kepincangan
Sungguhpun begitu, beliau menegaskan bahawa PAS dan parti-parti politik yang mempunyai kekuatan baik dari segi isu-isu semasa dan sokongan rakyat dalam berdepan dengan kerajaan Abdullah tidak akan rugi sekiranya ketiga-tiga tokoh ini tidak bersetuju dengan idea tersebut.
Namun demikian beliau berharap mereka memperhalusi cadangan itu memandangkan ketiga-tiga tokoh ini mempunyai pengalaman yang luas tentang pentadbiran kerajaan dan mampu mendedahkan kepincangan dengan lebih banyak dan jelas lagi.
"Mereka semua adalah bekas Menteri Kewangan dan mempunyai pengalaman yang banyak dan ketiga-tiga tokoh ini turut mengecam Abdullah yang disifatkan sebagai lemah," katanya
"Dan jika Gagasan Baru ini berjaya dibentuk, PAS akan menghulurkan tangan untuk bersama-sama demi menjaga kedaulatan negara dan membebaskan kemelut yang menghimpit kehidupan rakyat jelata selama ini," katanya lagi. - mks.

No comments: