Friday, April 27, 2007

Kecoh dan tegang : Petugas BN halang perayu undi KeADILan, FRU dan polis lerai keadaan.

Azamin Amin dan Roy Rasul. Foto Nasir Sudin Fri Apr 27, 07 10:35:26 PM
IJOK, 27 April (Hrkh) - Kurang lebih 12 jam lagi untuk penduduk di Ijok membuang undi esok, satu insiden yang tidak dingini berlaku di Kampung Rantau Panjang, apabila para petugas BN dengan kasar menghalang perayu undi KeADILan untuk merayu undi dari rumah ke rumah di kawasan terbabit.

Insiden itu menyebabkan suasana di sekitar menjadi kecoh hingga menjadi begitu tegang apabila masing-masing di pihak BN dan KeADILan tidak mahu beralah dan saling cabar-mencabar antara satu sama lain.
Ianya bermula pada sekitar jam 5.30 petang apabila sekumpulan petugas KeADILan seramai 20 orang berserta lima buah kenderaan yang siap dengan bendera parti tersebut ingin memasuki satu lorong jalan ke salah sebuah perkampungan di Kampung Rantau Panjang.
Namun di tepi laluan lorong tersebut, bertempat sebuah rumah yang didiami petugas dan penyokong kem Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang apabila melihat sahaja kepada kumpulan perayu undi terbabit, sekumpulan pemuda dan petugas BN seramai 50 orang yang rata-ratanya memakai baju t-shirt berlambang dacing bertindak keluar secara beramai-ramai bagi menghalang konvoi daripada memasuki lorong tersebut.
Dalam pada itu, secara kebetulan Bendahari PAS DR Hatta Ramli, AJK PAS Dr Zulkifli Ahmad, Naib Ketua Pemuda PAS Mazlan Aliman beserta enam orang petugas PAS sedang bertandang dan merayu undi di dua buah rumah yang berhampiran dengan tempat kejadian tersebut.
Dr Hatta berbincang secara berhemah
Antaranya rumah dilawati ialah rumah pasangan warga emas, Syed Ali Hanafiah, 89, dan isteri Hasimah Ismail.
Sedar akan kehadiran mereka,para petugas KeADILan telah meminta Dr Hatta dan rakan-rakannya yang lain meleraikan keadaan yang tegang tersebut namun, suasana terus menjadi kecoh walaupun Dr Hatta secara berhemah meminta jasa baik petugas BN memberi laluan kepada petugas KeADILan untuk merayu undi di kawasan terbabit.
"Apa nak jadi, jadilah kami takkan benarkan masuk!" laung salah seorang pemuda BN secara kasar disertai dengan laungan provokasi beberapa lain yang hadir.
Kumpulan tersebut menjadi semakin ramai mengerumuni kawasan hingga menutup sebelah jalan raya di Kampung Rantau Panjang tersebut dan setengah jam kemudian, dua buah kereta peronda polis tiba dengan beberapa pegawai polis datang cuba untuk menteteramkan keadaan.
Dr Hatta Ramli berkata, apa yang berlaku ada pihak yang tidak mahu Barisan Alternatif (BA) menemui rakyat bagi menyampaikan mesej dan kempen sokongan kepada calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Katanya, ini dapat dilihat apabila pemuda-pemuda Barisan Nasional (BN) iaitu dari Rumah BN Negeri Sembilan menggunakan kedudukan mereka di pangkal jalan menghalang perayu undi daripada masuk secara bebas.
Bukan cara demokratik
"Ini bukan cara demokratik tetapi kita tidak mahu menimbul apa-apa insiden yang tidak diingini.
"Oleh itu saya harap kedua pihak bertenang dan menanti suasana lebih tenang untuk masuk ke dalam kawasan sini. Bagaimanapun buat masa ini jika perayu dari KeADILan cuba masuk juga, pasti berlaku halangan yang tidak diingini," katanya selepas beliau beredar dari tempat kekecohan itu.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua pengundi keluar mengundi dan tidak perlu gentar dengan ugutan pihak-pihak tertentu.
Malah katanya beliau yakin jika peratusan mengundi tinggi esok peluang PKR untuk memenangi pilihan raya akan lebih baik.
Naib Ketua Pemuda PAS Mazlan Aliman, yang turut sama dalam delagasi perayu undi di kampung berkenaan berpandangan, mood pengundi di Ijok tidak seburuk seperti mana digambarkan sebelum ini.
Katanya, walaupun Kampung Rantau Panjang dan Kampung Sungai Darah, kubu BN tetapi katanya ternyata pengundi memahami parti dan calon mana yang hendak dipilih.
Provokasi BN, pengundi jadi takut
Namun katanya, apabila suasana tidak diingini dicetuskan seperti provokasi BN di Kampung Rantau Panjang tadi mereka menjadi takut untuk mengundi.
Sementara itu, Ahli Majlis Perwakilan Tertinggi PKR Dr Xavier Jayakumar yang turut berada di tempat kejadian, Dr Xavier Jayakumar berkata, insiden tersebut merupakan satu masalah dalam pilihan raya negara ini, walhal katanya, PKR dan BA juga mewakili satu parti yang sah.
"Kita boleh masuk mana-mana kawasan untuk merayu pengundi tanpa ada kekecohan atau apa-apa ugutan dari sesiapa pun dan tidak kira pihak itu dari mana sekalipun.
"Kita buat kerja kita saja, kita masuk kawasan ini hanya mahu beri risalah kepada pengundi dan bersalaman dengan mereka , itu saja dan kita tidak buat apa-apa gangguan," katanya lagi.
Katanya, apabila polis datang ke situ perkara tersebut perlu diselesaikan mengikut undang-undang sebagaimana terkandung dalam Akta Pilihan Raya yang diluluskan Parlimen.
"Ini kerana pemuda BN yang datang dari BN Negeri Sembilan tiada kuasa untuk menahan kami," dakwanya.
FRU dan polis lerai keadaan tegang
Dakwanya inilah satu-satu kampung dalam Ijok yang menampakkan BN takut dengan PKR sedangkan PKR hanya mahu bertemu dengan pengundi secara berhemah.
Pada kira-kira 6.15 petang sepasukan FRU beserta beberapa trak dan polis tiba untuk mengawal keadaan dan akhirnya Dr Hatta beserta petugas PAS dan KeADILan telah dibenarkan untuk memasuki lorong terbabit dan menjalankan tugas merayu undi kepada penduduk-penduduk kampung disitu dengan diiringi dan dikawal selia oleh para anggota polis.
Semua kerja-kerja merayu undi berjalan lancar dan berakhir sekitar jam 7 malam.
Sebelum itu, perayu undi KeADILan dan PAS telah singgah di beberapa buah rumah di Taman Purnama, namun tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan rata-rata penduduk di sekitar itu melayan petugas kEADILan dengan baik sungguhpun dikenal pasti kawasan tersebut adalah kawasan kubu BN.
Terdahulu pada sebelah tengahari, selepas Solat Jumaat, calon KeADILan Tan Sri Khalid Ibrahim berucap kepada di luar Masjid Darul Ibadah Ijok supaya para pendudk membuat keputusan yang bijak demi menjamin masa depan yang lebih baik bagi pembangunan fizikal mahupun rohani dengan mengundi parti KeADILan esok hari.
Risalah fitnah dan memburuk-burukkan Khalid dan Dato Seri Anwar Ibrahim turut diletakkan di hadapan pintu masjid tersebut beserta dengan beberapa kepingan CD yang tidak diketahui isi kandungannya.
Risalah fitnah
Antara kandungan isi risalah tersebut menyebut bahawa Anwar adalah 'dalang Yahudi' manakala Khalid dilabelkan sebagai seorang yang tamak dalam Syarikat Guthrie kerana mahukan saham yang berlebihan.
Lebih buruk lagi risalah-risalh tersebut menggunakan lambang parti KeADILan bagi mengelirukan orang ramai dan penduduk di sekitar Ijok.
Sehingga petang tadi, suasana di sekitar Ijok secara rambangnya tidak sesak lagi seperti beberapa hari sudah kerana tiada lagi kerja-kerja Jabatan Kerja Raya menurap jalan, mengecat bangunan, membaiki tiang elektrik atau pun projek peparitan seolah-olah semua projek sudah pun dihentikan secara serta merta.
Manakala kebanyakan papan tanda projek JKR yang mempunyai 'tarikh mula projek' yang bermula pada 16 April baru-baru ini sudah tiada bertulis 'tarikh siap projek' seolah-olah tiada waktu khusus projek-projek tersebut bakal disiapkan.

No comments: