Monday, April 2, 2007

Gesa pecat Mufti Perak - Gerakan makin biadap dan keterlaluan

Ahmad Tajdid Mon Apr 02, 07 02:53:01 PM
KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Gesaan Parti Gerakan agar Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria dipecat kerana kononnya terbabit dalam penyebaran SMS berhubung isu murtad membabitkan pelayar solo kelahiran Perlis, Dato' Azhar Mansor beberapa bulan lalu dianggap keterlaluan dan biadap.
Pengerusi Teras Pengupayaaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan akhbarnya membantah keras resolusi Gerakan Wilayah Persekutuan itu dan menganggap parti komponen BN tersebut cuba bermain dengan sentimen agama yang sangat berbahaya.
"Usul supaya Mufti Perak dipecat bukan sahaja biadap malah mencabar kuasa Raja yang melantik Mufti," tegas beliau.
Azmi turut mempertikaikan hak parti Gerakan untuk campur tangan dalam urusan agama Islam dan menyifatkan parti tersebut sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam dengan cuba mengungkit perkara yang telah pun ditangani pihak berkuasa.
Resolusi berhubung gesaan agar Mufti Perak dipecat itu dicapai dalam Konvensyen Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, 1 April lalu dan disiarkan oleh akhbar The Star, bertarikh 2 April.
"Bagi TERAS ini bukan kali pertama Parti Gerakan membuat kenyataan seperti ini kerana Presidennya pernah membuat kenyataan supaya pendidikan agama Islam tidak diajar di sekolah.
"Dengan yang demikian jelas Parti Gerakan mempunyai pendirian yang negatif terhadap kedudukan institusi Islam dan program Islam yang menjadi salah satu tumpuan utama kerajaan," kata Azmi.
Menurutnya lagi, usul Gerakan itu juga benar-benar mencabar kedudukan kuasa institusi agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang terletak di bawah kuasa negeri dan dilindungi oleh Raja-Raja Melayu.
Sehubungan itu, TERAS ujar beliau mendesak Gerakan menarik balik usul tersebut dan memohon maaf kepada Sultan Perak.
"Bagi TERAS isu yang ditimbulkan sudahpun diselesaikan dengan penjelasan yang telah dibuat oleh Mufti Perak kepada Sultan dan pihak keselamatan. Oleh itu kenapa pihak Parti Gerakan mahu membangkitkannya lagi?
"TERAS mengingatkan Parti Gerakan bahawa dengan terus membangkitkan isu agama Islam yang jelas kedudukannya dan telah terang peruntukan kuasa agensi-agensinya di negara ini, akan menimbulkan ketegangan yang merbahaya kepada keamanan dan kehormanian di kalangan masyarakat," jelas beliau.
Azmi juga melahirkan rasa hairan kerana di saat Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye mahu semua pihak saling memahami bila mengendalikan isu agama, usul memecat Mufti Perak ditimbulkan oleh Gerakan Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, TERAS mengesa Perdana Menteri selaku Pengerusi BN mengambil tindakan tegas terhadap anggota partinya yang menimbulkan isu mencabar kuasa Raja -raja.
"Membiarkan usul ini diketengahkan akan memberi mesej yang merbahaya kepada masyarakat dan menimbulkan ketegangan yang tidak perlu," tegas Azmi

No comments: