Tuesday, April 24, 2007

Umno punca rakyat dilanda ‘sindrom bisu’

Maslan Yusoh Tue Apr 24, 07 03:18:40 PM
KOTA BHARU, 24 April (Hrkh) – Apakah punca sebenar menyebabkan 4.9 juta rakyat yang layak mengundi di negara ini tidak mendaftar sebagai pemilih.

Dan lebih memalukan lagi apabila 80 peratus daripada jumlah tersebut adalah orang Melayu. Ini suatu fenomena yang cukup menggusarkan kerana ia lambat laun akan menghakis pertuanan Melayu itu sendiri.
Jadi di mana silapnya orang Melayu kerana membiarkan diri mereka tidak peka.
Bagi Menteri Besar Kelantan, antara faktor utama adalah berpunca daripada sikap kerajaan sendiri yang menyebabkan lahir sindrom bisu di kalangan orang Melayu terhadap tanggungjawab mengundi.
“Ini boleh dilihat apabila sistem pilihan raya di negara ini begitu banyak masalah. Masalah pengundi hantu, undi pos dan rasuah pilihan raya tidak mampu diselesaikan sehingga sekarang.
“Malah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pernah mencadangkan badan itu distruktur semula,” kata Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, hari ini.
Baru-baru ini Abdul Rashid mendedahkan 80 peratus daripada 4.9 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pemilih adalah orang Melayu.
Menurutnya, alasan mereka enggan mendaftar kerana tidak berminat dengan politik, malas, terlalu sibuk dan tidak tahu di mana tempat pendaftaran dibuat.
Ekoran itu, pelbagai pihak menyarankan pendaftaran perlu dilakukan secara automatik apabila mencapai usia 21 tahun.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula membidas 4.9 juta rakyat tidak berdaftar sebagai pemilih, sebaliknya mereka tidak lupa mengundi bagi program realiti televisyen.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, rakyat di negara ini perlu diberi kebebasan untuk memilih dalam erti kata sebenar bagi meningkatkan minat mereka untuk mengundi.
“Keadaan itu juga berlaku di institusi pengajian tinggi apabila pilihan raya majlis perwakilan pelajar sekarang dikongkong dengan begitu ketat sekali. Ini menyebabkan minat pelajar untuk terlibat secara langsung dengan politik selepas keluar kampus menjadi hambar.
“Malah, bagi kakitangan kerajaan pula mereka berdepan dengan ugutan ditukar ke pedalaman apabila memperlihatkan kecederungan berpihak kepada pembangkang.
“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak pula akan diugut dengan sekatan bantuan persekolahan apabila tidak mahu mendampingi Umno. Inilah antara punca menyebabkan minat rakyat untuk mengundi kurang,” katanya.
Kata beliau kerajaan tidak boleh mempersalahkan orang lain kerana amalan dan sistem yang ada sekarang perlu direformasikan terlebih dahulu.
Menurutnya, Umno perlu mengkaji semula kaedah demokrasi yang diamalkan sekarang bagi menarik semula keyakinan rakyat terhadap tanggungjawab mengundi.
Pada awal tahun ini SPR mencadangkan badan itu distruktur semula memandangkan undang-undang pilihan raya sudah berusia 50 tahun dan ia perlu dirombak secara drastik.
Bagaimanapun pengakuan SPR itu tidak diendahkan kerajaan, malah masih menganggapkan sistem pilihan raya yang dikendalikan di negara ini terbaik.
“Hakikat sebenarnya kerajaan boleh nilai sendiri apabila seramai 4.9 juta rakyat tidak mendaftar sebagai pemilih. Lojiknya kalau sistem yang diamalkan benar-benar telus, tentunya tidak sampai hampir lima juta enggan mengundi,” kata Menteri Besar.
Bekas pegawai tadbir dan diplomatik, Haji Annual Bakri Harun berkata, golongan muda kini beralih mengundi menggunakan SMS bagi program realiti televisyen kerana kesannya dapat dilihat secara langsung.
Sedangkan katanya, minat golongan muda kepada tokoh politik bukan Umno tidak dapat dibuat secara langsung kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan daripada kerajaan.

No comments: