Friday, April 27, 2007

Najib terdesak takutkan pengundi Cina dengan PAS

Saidah Hairan Fri Apr 27, 07 02:51:34 PM
BATANG BERJUNTAI, 27 April (Hrkh) - "Kalau saudara sokong KeADILan, bermakna saudara sokong PAS," inilah amaran Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak kepada pengundi MCA dalam majlis makan malam di sekolah Teknik, Ijok, malam tadi.
Beliau terus panaskan suasana kempen pilihan raya dengan propagandanya:
"Kalau saudara sokong PAS, PAS tidak akan membela orang Cina sebab mereka adalah parti Islam; adakah saudara mahu sokong pembangkang lagi?" katanya disambut sorakan penyokong MCA dalam dewan itu.
Lebih sepuluh kereta termasuk kereta peronda polis dan sebuah motosikal pengiring memenuhi jalan utama mengiringi Najib menuju ke majlis makan malam di Sekolah Teknik, Ijok.
Salah guna kemudahan kerajaan
Kehadiran Najib dan rombongannya dengan diiringi polis pengiring menyebabkan jalan pekan Ijok menjadi sesak, ditambah pula dengan beberapa buah trak polis yang diletakkan di tepi jalan raya serta kerja-kerja penurapan jalan.
Turut hadir dalam majlis makan malam itu ialah Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan beberapa orang pemimpin MCA.
Najib dalam ucapannya juga mengingatkan pengundi MCA bahawa KeADILan tidak mampu melaksanakan pembangunan kerana calonnya, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim tidak akan menggunakan 'duit sendiri' untuk melaksanakan pembangunan.
Beliau yang berkampung di Ijok selepas penamaan calon hingga hari pengundian dilapor memperuntukkan lebih RM20 ribu kepada pihak sekolah Teknik untuk membaik pulih dewan sekolah tersebut.
"Saya berjanji akan datang untuk merasmikan dewan ini bila sudah siap. Saya tolong beri pembangunan bukan waktu pilihan raya sahaja tetapi saya buktikan bila dewan ini siap saya akan turun untuk merasmikan," katanya menabur janji kepada pengundi MCA.
Bagaimanapun, ketika Najib mengajukan pertanyaan kepada pengundi MCA siapakah yang akan membuang undi dalam pilihan raya Sabtu ini, hanya empat orang sahaja yang angkat tangan.
Jumlah yang mengangkat tangan bagaimanapun bertambah apabila soalan yang sama diutarakan pengerusi majlis selepas Najib berucap.
Serangan peribadi tidak gentarkan Tan Sri Khalid
Sementara itu ketika diminta mengulas serangan peribadi pemimpin BN terutama Najib kepada calon KeADILan, Tan Sri Abd Khalid yang ditemui berkata, serangan peribadi yang dilakukan oleh pimpinan Umno tidak sedikit pun menggentarkan keyakinannya untuk terus bertanding dalam pilihan raya.
Beliau bersedia untuk menjawab apa sahaja serangan yang dilemparkan kepadanya terutama yang ada kaitan dengan undang-undang.
Ini kerana katanya, masyarakat di Ijok tidak ada masa untuk mendengar fitnah yang sengaja diada-adakan oleh pimpinan BN kerana mereka mahu mendengar kebenaran.
Abd Khalid ditemui di majlis Hi-Tea di Batu 7, Kampung Ijok, petang Khamis lalu.
Hadir sama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presidennya, Azmin Ali; Pengerusi MTUC, Syed Shahir Syed Mahamud. - mks.

No comments: