Tuesday, April 3, 2007

Kes Zulkipli: Tindakan Abdullah hanya untuk matikan isu

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Apr 03, 07 06:15:43 PM
KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Ramai pihak menyambut baik tindakan kerajaan untuk tidak menyambung kontrak Dato' Seri Zulkipli Mat Nor sebagai Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah khidmatnya tamat 31 Mac lalu, namun dalam kemelut yang melanda BPR, tindakan itu tidak cukup untuk membuktikan badan itu benar-benar telus dalam menjadi benteng kepada memerangi rasuah di negara ini.
Sebaliknya, satu tindakan yang lebih proaktif ke atas laporan-laporan yang dikaitkan dengan Zulkipli, serta laporan yang dihadapkan ke atas BPR perlu diadakan antaranya mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Bebas menyiasat kes-kes BPR dan laporan rasuah, kata Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor.
"Saya ada alasan yang kukuh untuk mencurigai tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmada Badawi untuk tidak menyambung khidmat Zulkipli, antara lain untuk menutup isu besar yang dikaitkan dengan BPR, Zulkipli dan Abdullah sendiri,"katanya kepada wartawan ketika mengadakan sidang media mengenai isu bekas Ketua Pengarah BPR itu di pejabatnya dekat Kelana Jaya hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdul Ghani Haroon dan beberapa aktivis Gerak.
Mengulas lanjut Ezam berkata, kerajaan seharusnya lebih memfokuskan kepada usaha membersihkan BPR itu sendiri dengan mewujudkan suruhanjaya itu yang secara serius akan menyiasat segala laporan yang dibuat pelbagai pihak terhadap BPR mahupun salah laku rasuah membabitkan pemimpin negara.
Bagaimanapun dalam menyelesaikan isu membabitkan Zulkipli ini katanya, tindakan lambat yang dibuat oleh kerajaan Abdullah terhadap Zulkipli sehingga terpaksa menunggu tarikh tamat tempoh khidmatnya amatlah mengecewakan, katanya lagi.
Beliau juga melahirkan kebimbangan jika isu bekas Ketua Pengarah BPR ini hanya akan dibiarkan 'diam' begitu sahaja ditelan masa, sedangkan segala siasatan yang dilakukan tidak akan didedah kepada umum termasuk keputusan siasatan.
"Kita bimbang, siasatan hanya dijalankan oleh BPR dan polis yang dalam masa yang sama juga dirasgui kredibilitinya termasuk kerana kes-kes yang dikaitkan dengan dua badan ini.Dalam polis, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato'Johari Baharom dikaitkan dengan rasuah, sementara BPR pula sendiri dicemari dengan kes Zulkipli ini,"katanya lagi.
Beliau juga bimbang kes yang sama seperti kes siasatan ke atas bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob berhubung rasuahnya; kes Dato' Osu Sukam; kes Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang didiamkan setelah mereka diarah meletak jawatan.
Sementara itu mengulas mengenai cadangannya supaya kerajaan mengadakan suruhanjaya bebas menyiasat BPR dan isu rasuah, badan itu perlulah melibatkan individu yang benar-benar berkredibiliti seperti bekas-bekas hakim yang bersih rekod perkhidmatannya, wakil NGO dan mereka yang benar-benar layak menjadi anggota suruhanjaya.
Rekod penubuhan suruhanjaya bebas seperti dalam menyiasat kes Polis dan insiden 'mata lebam' bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyaksikan adanya laporan dan cadangan yang baik dibuat oleh suruhanjaya tersebut.
"Mengapa tidak dalam kes BPR ini, suruhanjaya dibentuk dan segala aduan disiasat.Meskipun saya tidak yakin dengan kerajaan untuk menerima cadangan yang mungkin bakal timbul, (jika suruhanjaya ini berjaya dibentuk) tetapi ia perlu untuk rekod menyatakan ia telah dijalankan," katanya.
Justeru beliau menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan suruhanjaya itu dan menjalankan siasatan segera ke atas kes-kes rasuah termasuk kes yang membabitkan pemimpin negara seperti kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah RM5.5 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat (OD).
Isu mengenai dakwaan itu ditimbulkan Ezam melalui Gerak dalam satu idang medianya awal tahun ini.Ezam memetik satu surat yang dihantar bekas Pegawai Siasatan BPR, Mohammad Ramli Abdul Manan yang merujuk kepada kes salah laku seks dan penyelewengan membabitkan Zulkipli yang diserah kepada PM dan Ketua Polis Negara.
Kes salah laku seks terhadap Zulkipli itu dibuat pada 1997, dan ketika itu beliau adalah bekas Ketua Polis Johor. Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah BPR pada 2001. Perkhidmatan beliau disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali. Tarikh akhirnya di pejabat, difahamkan, ialah pada 31 Mac lalu. - mks.

No comments: