Tuesday, September 11, 2007

Laporan Audit Negara, korupsi parah dalam kerajaan pimpinan Abdullah

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Sep 12, 07 09:43:46 AM
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) melihat laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan kepincangan dan penyelewengan wang negara adalah bukti jelas betapa wujudnya penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Laporan Audit Negara mengenai aktiviti kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan 2006 yang mendedahkan mengenai pembelian barangan dan peralatan yang harganya berlipat kali ganda daripada harga pasaran adalah satu pembuktian jelas betapa wujud penyelewengan ketara ke atas perbelanjaan kerajaan,"kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Korupsi pada tahap parah
Laporan itu antara lain mendedahkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membeli peralatan pada kadar harga terlalu tinggi sehingga lebih daripada 200 peratus membuktikan korupsi peringkat kementerian berada di tahap yang parah, kata Shamsul Iskandar.
Ia termasuklah membeli barangan yang berharga RM50 pada kadar RM5,700, kata Shamsul Iskandar yang merujuk kepada Laporan Audit Negara.
Malah, dilihat ada pembelian dua buah kren menara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga yang tidak munasabah iaitu hampir RM3 juta berbanding harga pasaran kira-kira RM1.5 juta, katanya.
LHDN tidak serah hasil kutipan cukai?
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga didapati masih belum menyerahkan hasil kutipan cukai berjumlah RM13.82 bilion kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember tahun lepas, katanya.
"Yang lebih mengejutkan ialah bagaimana empat NGO di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat didedahkan tetap menerima bantuan berjumlah RM1.5 juta walaupun kedudukan kewangan mereka kukuh,"katanya.
AMK menegaskan bahawa fakta-fakta ini menunjukkan penyelewengan ketara wang rakyat oleh pemerintah Umno-BN, katanya.
Di saat rakyat digesa mengubah cara hidup, kerajaan sewenang-wenangnya berbelanja dengan begitu boros dan keterlaluan, ujar Shamsul Iskandar.
Sehubungan itu, AMK menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) segera melakukan penyiasatan terhadap kesemua penyelewengan yang telah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Selain itu Dewan Rakyat digesa untuk membahaskan laporan Ketua Audit Negara ini di Parlimen dan siasatan menyeluruh dilakukan dengan serta merta, katanya.
Keriuhan pendedahan bersifat sementara
Sementara itu Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Ezam Mohd Noor pula berpendirian, laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini banyak mendedahkan kepincangan pentadbiran negara membabitkan jutaan wang ringgit.
"Gerak mengalu-alukan laporan dan pendedahan itu bagaimanapun bimbang keriuhan pendedahan ini bersikap sementara dan akhirnya penyelewengan lepas dan tidak dipertanggungjawabkan di atas kesalahan menjijikkan ini,"kata Ezam dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.
Justeru Gerak menubuhkan satu unit khjas serta merta dalam mempastikan setiap penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara ini dipertanggungjawabkan ke atas pihak yang terbabit, kata Ezam.

No comments: