Sunday, September 30, 2007

Panel siasat video: Jangan sampai jadi bahan ketawa

Abdul Halim Mohd Rashid Mon Oct 01, 07 8:27:56 am MYT
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mempersoalkan sejauh manakah panel yang ditubuhkan untuk menyiasat 'video Lingam' boleh mendapatkan kerjasama saksi penting jika panel itu sendiri tidak boleh menjamin perlindungan kepada saksi berkenaan.
"Bagaimana saksi penting iaitu orang yang merakamkan video tersebut hendak tampil membuat pengakuan tentang kesahihan video itu jika tidak ada jaminan perlindungan untuknya?" beliau mempersoalkan.
Mahfuz juga mempersoalkan, ketika ketiga-tiga anggota panel tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan rakaman video, apakah jaminan bahawa mereka tidak menggunakan kepakaran orang-orang yang tidak jujur yang akhirnya akan memberikan maklumat yang salah kepada mereka?
Panel tersebut dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.
Video tersebut pula dilaporkan mengandungi rakaman perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim untuk mengatur perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim yang sehaluan.
"Siapa di antara mereka yang boleh mengesahkan segala maklumat mengenai rakaman video itu dalam keadaan mereka hanya bergantung kepada penemuan-penemuan polis dan agensi-agensi kerajaan lain?" soal beliau.
Menurut sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris 26 September lalu, panel tersebut menjalankan tugas mereka hanya berdasarkan penemuan-penemuan polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Mereka juga boleh menyiasat penemuan-penemuan tersebut tetapi tidak boleh terlibat secara langsung untuk menemubual atau mendapat maklumat lanjut dari mereka yang terlibat.
Mahfuz menyifatkan bidang kuasa panel tersebut amat tidak kondusif untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan yang diyakini oleh rakyat dan dunia.
"Saya bimbang hasil siasatan panel tersebut hanya akan menjadi bahan gelak ketawa. Jangan sampai seluruh dunia mentertawakan panel penyiasat tersebut dan panel tersebut akhirnya menjadi ikon yang dipersendakan seluruh dunia sehingga akhirnya ada istilah "panel penyiasat Malaysia" yang digunakan bagi merujuk mana-mana badan siasatan yang tidak diterima kewibawaannya," kata beliau.
Sepatutnya, kata Mahfuz lagi, anggota-anggota panel tersebut menolak perlantikan mereka dan bersama-sama rakyat menuntut supaya diwujudkan suruhanjaya diraja menyiasat video tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub menyifatkan dua isu utama mengenai panel tersebut akan tetap dipersoalkan sehingga bila-bila
Isu pertama ialah mengenai kuasa panel tersebut manakala isu kedua ialah kredibiliti anggota-anggotanya.
"Paling buruk sekali ialah panel itu mesti menyerahkan hasil siasatannya kepada kabinet yang kemudiannya akan mengumumkan kepada rakyat. Tidak ada orang berakal yang mahu mempercayai bahawa panel itu bebas," tegas beliau

No comments: