Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - PAS mengucapkan tahniah kepada Syed Shahir Syed Mohamud, yang mengekalkan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam pemilihan jawatan kongres tahunan kesatuan itu yang ke-37 semalam.
"PAS yakin dengan kemampuan dan pengalaman Syed Shahir, MTUC akan terus kehadapan dalam membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan para pekerja di Malaysia, khasnya lebih 750,000 tenaga pekerja yang bernaung di bawah MTUC," kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataannya hari ini.
PAS akan sentiasa menjalin kerjasama dan persefahaman dengan MTUC dan akan terus memberikan sokongan khususnya dalam isu-isu pembelaan nasib dan masa depan tenaga pekerja di Malaysia, katanya.
Ini penting bagi menjamin kehidupan mereka yang selesa serta bebas dari sebarang bentuk penindasan samada oleh pihak majikan atau mana-mana pihak yang berkepentingan, katanya.
Terdahulu semalam, Syed Shahir Mohamud berkata beliau mungkin sukar menjalankan tugasnya memimpin kongres tersebut dengan berkesan kerana sebahagian besar jawatankuasa barunya dimenangi oleh kumpulan yang tidak sealiran dengannya.
Beliau mengakui bahawa ramai 'orang-orangnya' gagal mendapat tempat dalam pemilihan kongres itu yang berlangsung semalam.
Syed Shahir berjaya mengekalkan jawatan presiden dengan menewaskan pencabarnya, Mohd Shafie BP Mammal yang sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC.
Syed Shahir mendapat 278 undi untuk menewaskan pencabarnya Mohd Shafie BP Mammal dengan majoriti 43 undi.
Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di luar Dewan Sivik MPPJ selepas pengerusi persidangan kali ini, J Ganesan Murty, mengumum keputusan pemilihan kali ini pada kira-kira jam 7.25 malam tadi.
Namun begitu, sebahagian besar jawatan penting MTUC kali ini dimenangi oleh calon-calon dari kumpulan Mohd Shafie yang turut bergabung dengan Setiausaha Agung MUTC, G Rajasekaran.
Rajasekaran pula berjaya mengekalkan jawatan setiausaha agung dengan majoriti tipis empat undi sahaja, untuk menewaskan pencabarnya Abdullah Sani Abdul Hamid.
Bagaimanapun, Syed Shahir meminta semua pihak supaya bersatu dan terus bekerja untuk kepentingan golongan pekerja.
Menurut senarai pemenang kali ini, 12 daripada 15 calon yang terpilih memegang jawatan penting MTUC kali ini merupakan dari kumpulan pencabarnya, Mohd Shafie yang bekerjasama dengan kumpulan Rajasekaran.
Calon-calon dari kumpulan Syed Shahir yang tewas kali ini ialah calon jawatan timbalan presiden, Abdullah Sani Abdul Hamid bagi jawatan setiausaha agung, J Solomon (jawatan timbalan setiausaha) dan juga P Maniam (jawatan timbalan presiden).
Syed Shahir menghadapi saingan hebat kali ini berikutan wujudnya pihak dalam MTUC yang tidak sehaluan dengan cara kepimpinan beliau yang dikatakan keras sentiasa mengambil pendekatan keras terhadap kerajaan, dalam memperjuangkan isu gaji minima dan pemberian COLA pada kakitangan swasta. -->
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment