Sunday, October 7, 2007

Isu PGCC - Teras selar Abdullah Badawi dan Patrick Lim

Azamin Amin Mon Oct 08, 07 9:18:06 am MYT
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Hrkh) - Projek Mega Pulau Pinang, Penang Global City Centre (PGCC) tajaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Eksekutif Equine Capital Berhad, Patrick Lim dilihat tidak memberi sebarang kesan positif dan meminggirkan lagi nasib rakyat khususnya Melayu Pulau Pinang yang semakin terabai selama ini
Ia juga diselar berikutan tidak mengendahkan apa jua pandangan dan maklmum balas rakyat terhadap projek yang cuba dilaksanakan kerajaan ini malah kata-kata dan janji bahawa projek mega bernilai puluhan bilion ringgit termasuk PGCC yang dikatakan akan memberi kesan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Pulau Pinang menimbulkan pelbagai persoalan dan dianggap tidak realistik.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata projek mega yang diumumkan tidak melalui proses rundingan dengan rakyat untuk mendapat maklumbalas dan rakyat hanya dilihat sebagai objek dan penerima pasif dari apa sahaja yang dirancang.
"Kaedah autokratik kerajaan sering digunakan dalam membuat keputusan yang melibatkan juga perbelanjaan dari wang awam sebagai suatu pendekatan yang meminggiran rakyat dan tidak mesra rakyat," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.net.
"Nampaknya kerajaan hanya mendengar suara syarikat lebih dari suara rakyat sehingga pertimbangan sama ada rakyat kecil akan terpinggir dari proses pembangunan menjadi faktor tidak diperhalusi," katanya.
Malah semakin disangsikan kata Azmi ialah risiko pembangunan berskala mega ini diumum dan dilulus dalam keadaan luar prosedur biasa dan kepantasan yang luar biasa.
Apatah lagi rakyat tidak berhak bertanya jauh sekali untuk mengkritik dan kerajaan nampaknya tidak memberi ruang untuk konsultasi penuh dengan pelbagai pihak termasuk agensi tertentu dalam kerajaan sendiri, katanya
Beliau turut memberi contoh situasi yang berlaku kepada Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) yang kini sudah menunjukkan tanda kegersangan peniaga kerana tidak lagi menjadi pusat kunjunggan sedangkan dahulunya sebagai penarik dan mercu tanda pembangunan Pulau Pinang.
"Setakat ini tiada sebarang isyarat terhadap penyertaan kaum bumiputera kerana mereka dilihat tidak mampu menyertai projek sebesar ini," katanya.
"Kini kependudukan kaum Melayu sudah banyak terhakis di pulau ini dan dengan melaksanakan projek PGCC yang akan dikendali oleh syarikat besar, penempatan Melayu yang sedia ada akan menjadi tanda tanya," katanya.
Teras katanya kesal dengan keghairahan berlebihan pemimpin negara untuk melaksanakan projek berskala besar ini sehingga memberi kesan kepada orang Melayu yang terus menjadi penumpang kepada proses pembangunan dan juga tidak memberi ruang untuk rakyat Melayu bersuara membela nasib meraka yang semakin terpinggir.
Di laporkan semasa perasmian PGCC di Hotel Equatorial Bukit Jambul baru-baru ini, projek tersebut hanya menonjolkan bangunan berkembar menempatkan pusat membeli belah, panggung kesenian, pembangunan taman dalam bandar yang menghubungkan Taman Belia dan Taman Botani dengan menyembunyikan perancangan teliti pembangunan elit yang memisahkan golongan kaya dan miskin.
Di fahamkan projek tersebut menelan belanja RM23 billion di tapak Padang Lumba Kuda, Batu Gantung seluas 104 hektar. - mr

No comments: