Friday, December 1, 2006

RM600 juta kepada ketua-ketua Umno cabul Perlembagaan

Abu Bakar Rahman Fri Dec 01, 06 07:16:27 PM
KUALA LUMPUR, 2 Dis (Hrkh) - RM600 juta yang dibahagi-bahagikan kepada ketua-ketua Umno bahagian mencabul Perlembagaan dan amalan berparlimen, kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
"Peruntukan tersebut tidak diluluskan oleh Parlimen dan pemberitahuan mengenainya hanya dibuat oleh surat Timbalan Menteri Kerjaraya, Dato’ Mohd Zin Mohamed bertarikh 13 November, yang mengarahkan JKR supaya mempercepatkan pelaksanaan program tersebut, iaitu pada hari yang sama peruntukan dibahagi-bahagikan kepada Umno bahagian-bahagian oleh Perdana Menteri, (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi) pada 13 November lalu ketika Perhimpunan Agung Umno.
"Parlimen dengan jelas tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana hanya pada 15 November, (Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian), Salahuddin (Ayub) bertanya mengenai perkara itu setelah diberitahu mengenai peruntukan itu oleh seorang ketua Umno bahagian," katanya.
Oleh sebab cara peruntukan tersebut dibahagi-bahagikan kepada ketua Umno bahagian-bahagian tanpa pengetahuan Parlimen, katanya, ia jelas mengetepikan amalan berparlimen di negara ini.
"Apabila Parlimen diketepikan, penyaluran peruntukan RM600 juta kepada ketua-ketua Umno bahagian itu jelas mencabul Perlembagaan Malaysia," kata Mohamad lagi.
Menurut Mohamad Sabu, walaupun terdapat peruntukan untuk pembangunan, ia mesti mestilah diluluskan oleh Parlimen dan mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan.
Beliau juga menuntut pihak polis membuktikan kewibawaanya dengan mengambil tindakan segera terhadap laporan polis yang dikemukakan oleh DAP mengenai perkara itu.
"Polis terbukti begitu pantas dan keras dalam tindakannya terhadap pembangkang malah menyekat program-program yang sepatutnya dihadiri oleh (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad), seperti yang beliau dedahkan sendiri.
"Jika polis enggan bertindak pantas dan tegas terhadap laporan yang dikemukakan oleh DAP itu, ia akan menghadapi krisis kepercayaan yang lebih teruk dan semakin sah bahawa negara ini negara polis," katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi NGO DAP, Ronnie Liu membuat laporan polis, mendakwa wang rakyat digunakan untuk membiayai program tersebut, yang akhirnya "jatuh" ke tangan pemimpin Umno di peringkat bahagian.
Menurut beliau, peruntukan tersebut tidak diluluskan sama ada oleh Parlimen atau Kabinet. Sebaliknya, Liu mendakwa, ia diluluskan oleh pemimpin parti dan merupakan ‘wang politik’ bertujuan untuk meningkatkan sokongan.
Sebelum itu, Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin menuduh kerajaan berbohong dalam Parlimen berhubung peruntukan RM600 juta untuk projek pembangunan luar bandar yang dibahagi-bahagikan kepada Umno bahagian-bahagian oleh Perdana Menteri pada 13 November lalu ketika Perhimpunan Agung Umno.
Tuduhan berbohong itu berpunca dari jawapan Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Zainal Abidin Osman kepada pertanyaan Salahuddin ketika sidang Parlimen 15 November lalu.
Salahuddin bertanya, mengapakah peruntukan RM600 juta itu diagihkan kepada Umno bahagian-bahagian?
Malah, katanya, seorang ketua Umno bahagian yang tidak mahu namanya disiarkan menyatakan bahawa setiap Umno bahagian akan mendapat RM3 juta.
"Saya ingin penjelasan di sini adakah duit ini peruntukan-peruntukan kerajaan ataupun duit daripada poket Umno sendiri?" Salahuddin bertanya.
Menjawab soalan Salahuddin itu, Zainal Abidin berkata, kementeriannya belum lagi dimaklumkan tentang RM600 juta yang ingin dikemukakan kepada projek-projek luar bandar itu.
"Tetapi menerusi apa yang kita lihat daripada media akhbar, RM600 juta ini adalah diberi oleh duit kerajaan Barisan Nasional dan bukan duit Umno dan akan dibagikan kepada ICU melalui SDO, dan tidak ada faktor yang disebut di sini tentang ketua-ketua bahagian mengikut apa yang difahamkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah secara rasmi," kata Timbalan Menteri itu.
Raja Petra menyifatkan jawapan itu "penuh pembohongan dan bertujuan untuk memesongkan maklumat".
"Wang itu tidak akan – dan saya ulang tidak akan – diuruskan oleh kerajaan tetapi akan diuruskan oleh ketua-ketua bahagian Umno. Kerajaan berbohong dalam Parlimen dan saya tidak tahu apakah implikasi pembohongan ini," tegas beliau.
Beliau seterusnya berkata: "Sebab mengapa mereka berbohong di Parlimen adalah amat mudah. Wang RM600 juta itu adalah dana kerajaan tetapi akan disalurkan kepada Umno untuk kegunaan parti. Sudah tentu ini kerja haram.
"Tetapi mereka perlu lakukannya kerana alasan yang amat mudah. Mereka mahu membeli ketua-ketua bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian – yang kesemuanya adalah perwakilan di dalam Perhimpunan Agung Umno – sebagai jaminan tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan soalan yang memalukan ataupun menghenyak Majlis Tertinggi Umno (MT) kerana kontroversi membabitkan mesyuarat mereka pada 28 September lalu".
Pada mesyuarat MT 28 September itu, katanya, berlaku tindakan menarik balik dan menghapuskan minit mesyuarat sebelumnya.
"Dalam mesyuarat sebelumnya, MT telah membincangkan keinginan Dr Mahathir untuk bertanding sebagai perwakilan (Umno Bahagian Kubang Pasu).
"MT membincangkan perkara itu dan tidak mahu Dr Mahathir menang. Menteri Besar Kedah (yang juga Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid) dan ketua Umno Bahagian Kubang Pasu (yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom) bukanlah anggota MT tetapi telah menghadiri mesyuarat itu dan diberikan arahan untuk memasti Dr Mahathir kalah".
Akhirnya, Raja Petra menceritakan, menjelang berlangsungnya mesyuarat bahagian Kubang Pasu, mereka telah memanggil 450 anggota perwakilan bahagian untuk menemui mereka dan setiap ahli telah diberikan sampul surat mengandungi RM200 dengan arahan tidak mengundi Dr Mahathir.
"Mengikut penilaian yang dibuat oleh ibu pejabat Umno, sekitar 60 peratus perwakilan masih menyokong Dr Mahathir dan mereka telah diberikan perancangan di mana sebahagian dari mereka akan menimbulkan huru-hara dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru berlansung itu.
"Ketika itu, kebanyakan perwakilan telahpun sedar tentang mesyuarat MT 28 September yang menarik balik dan melenyapkan terus tiga halaman bukti kesalahan dari minit mesyuarat sebelumnya," katanya.
Lantaran itulah, katanya, peruntukan RM600 juta itu dibahagi-bahagikan untuk "membeli ketua-ketua bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian – yang kesemuanya adalah perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno – sebagai jaminan tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan soalan yang memalukan ataupun menghenyak MT kerana kontroversi membabitkan mesyuarat mereka pada 28 September itu".
Raja Petra juga pernah mendedahkan bahawa Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato' Seri Rais Yatim yang menziarahi Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini mengakui kebenaran pendedahannya dalam laman web berita itu mengenai konspirasi di peringkat MT untuk memastikan bekas Perdana Menteri dikalahkan dalam pemilihan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno ketika mesyuarat agung Umno Bahagian Kubang Pasu itu.
"Sah! Rais Yatim menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad di hospital beberapa hari lalu dan mengakui apa yang ditulis Malaysia Today dalam Dolahgate dan Operation Deep Throat adalah benar".

No comments: