Monday, December 25, 2006

PAS Pusat hargai komitmen PAS Johor bantu mangsa banjir

Oleh Salman Hussin Sun Dec 24, 06 03:03:51 AM
KOTA TINGGI, 24 Dis 2006 (Hrkh) – Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera PAS di negeri ini terutama Unit Amal, yang telah bertungkus lumus turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini.
Selain itu beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada para dermawan yang telah menyumbangkan wang ringgit untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Johor dan juga negeri-negeri lain yang terlibat dengan banjir.
Kecenderungan orang perseorangan, syarikat dan juga ahli-ahli korporat ini menghulurkan sumbangan melalui PAS membuktikan keyakinan orang ramai terhadap ketelusan PAS dan mereka percaya sumbangan mereka akan sampai kepada mangsa-mangsa banjir ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyerahan peruntukan tambahan kepada PAS kawasan Kota Tinggi, dekat sini kelmarin, hadir sama Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan dan Dzulkifly Ahmad, Ketua Penerangan, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Terdahulu Nasharuddin yang berkampung selama dua hari di Johor telah mengadakan lawatan serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Segamat dan Kluang.
Katanya, peruntukan tambahan ini diberi memandangkan PAS Kota Tinggi turut menampung hampir seratus mangsa banjir di Markas PAS Taman Hijrah, dekat sini, selain itu terdapat juga mangsa banjir yang tinggal di pusat-pusat pemindahan yang disediakan kerajaan tetapi mangambil makanan di sini, ini disebabkan sama ada bekalan makanan tiada atau lewat tiba.
Sejak Negeri Johor dilanda banjir besar yang dianggap ‘luar biasa’ beberapa hari lalu, selain Timbalan Presiden, beberapa pemimpin PAS Pusat turut berkunjung ke Johor, antaranya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Nasharuddin lagi, sepanjang kunjungannya ke beberapa pusat pemindahan mangsa banjir khususnya di kawasan yang teruk dilanda banjir seperti di Segamat dan Kota Tinggi, mangsa-mangsa banjir ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAS yang begitu pantas turun padang memberi bantuan berupa makanan kepada mangsa.
“Bagi kita hanya itulah sedikit sumbangan yang mampu diberi kepada rakyat sesuai dengan kedudukan PAS sebagai pembangkang, lainlah kalau kita kerajaan yang memerintah, sudah tentu bantuan yang akan kita beri jauh lebih besar lagi,” ujar beliau.
Katanya lagi, ini kerana terdapat sebahagian besar mangsa di pusat pemindahan yang mengadu kepada kita mereka tidak diberi makanan secukupnya selain tidak dibekalkan dengan air bersih selama beberapa hari, begitu juga terdapat beribu-ribu mangsa yang begitu lambat diselamatkan bahkan ada mangsa yang terpaksa berlindung di bumbung rumah selama dua hari tanpa makan dan minum.
“Kita hairan bagaimana negeri yang Umnonya dikatakan terkuat di dunia gagal menguruskan mangsa-mangsa banjir ini dengan cekap dan tersusun sehingga menyebabkan kebajikan mereka terabai,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu beliau mengingatkan seluruh ahli PAS bahawa segala penat lelah serta pengorbanan mereka untuk membantu rakyat yang sedang dilanda musibah adalah sumbangan yang sangat besar ertinya.
“Mudah-mudahan sedikit sumbangan yang kita berikan ini dapat membuka mata rakyat Johor bahawa PAS bukan sekadar tahu berpolitik sahaja tetapi kita telah buktikan bahawa PAS juga mampu memberikan perkhidmatan kepada rakyat walau pun tidak sesempurna mungkin,” ujar beliau lagi.- tajdid

No comments: