Saturday, December 23, 2006

Pilihan raya: Jentera Pemuda Pas digerakkan

KOTA BHARU 23 Dis. – Dewan Pemuda Pas mula menggerakkan jenteranya di seluruh negara melalui program Himpunan 15,000 ahlinya di sini hari ini bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.Pada perhimpunan tersebut yang diadakan di Padang Perdana di sini, Ketuanya, Salahuddin Ayub mengingatkan ahli-ahli pergerakan itu supaya bersiap sedia dengan ketibaan tahun 2007 yang dianggapnya sebagai tahun pilihan raya.
Beliau mahu semua jentera dari peringkat negeri, kawasan dan cawangan mempersiapkan diri masing-masing bagi memastikan Pas dapat bangkit dan mencatatkan kemenangan lebih besar.
“Kita rela tewas tetapi tidak rela dikalahkan melalui cara-cara yang kotor,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada perhimpunan itu.
Program perhimpunan bertemakan Pemuda Peneraju Kebangkitan adalah yang pertama diadakan selepas tempoh hampir 20 tahun dan ia dihadiri oleh ahli pergerakan itu dari seluruh negara.
Turut berucap pada program sehari itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Salahuddin dalam ucapannya turut mengajak ahli-ahli Pas untuk mendampingi golongan bermasalah yang terjebak dalam pelbagai kancah sosial melalui gerakan yang dinamakan duta penyelamat dan kasih sayang.
Katanya, dengan peranan itu, ahli-ahli Pemuda Pas perlu bertindak sebagai ejen yang mampu mengubah golongan yang hanyut ini seperti penagih dadah agar bukan sahaja kembali ke pangkal jalan malah mendekati perjuangan Islam melalui Pas.
“Insya-Allah kita akan lihat sejauh mana kemampuan usaha ini kerana sasaran saya apabila Ibu Pejabat Pas berpindah ke kawasan Chow Kit awal tahun hadapan, kita harap kehadiran Pemuda Pas di situ akan dapat mengubah landskap kawasan tersebut.

No comments: