Monday, December 4, 2006

PAS mahu peluang lebih adil untuk peniaga Melayu

Mohd Sabri Said Tue Dec 05, 06 01:20:46 AM
TANJUNG BUNGAH, 5 Dis (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menegaskan, Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pulau Pinang yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh berjaya sekiranya peluang perniagaan diberikan secara adil.
Katanya lagi, apa yang membimbangkan peluang yang ada diboloti oleh segolongan yang akrab dengan pimpinan politik sedangkan adakalanya projek yang diperolehi, mereka 'ali babakan' semata-mata mengaut keuntungan komisen sahaja.
"PAS berharap Gabem benar-benar boleh mengangkat ekonomi Melayu yang mempunyai jurang perbezaan yang jauh. Asalkan matlamatnya tidak dipolitikkan, " jelasnya ketika sidang akhbar selepas perasmian Kongres Kebangkitan Melayu Pulau Pinang di Hotel Naza, Tanjung Bungah semalam.
Beliau ketika diminta mengulas kewujudan Gabem di Pulau Pinang menambah, peniaga Melayu amat memerlukan pembelaan kerana masalah pinjaman.
Maka, peluang yang ada seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin bagi merintis era global bagi melahirkan usahawan Melayu yang berjaya hasil titik peluh sendiri dan bukan mengharap keuntungan atas angin sebagaimana yang berlaku hari ini.
"Jika Gabem beroperasi dengan baik, saya yakin masalah pinjaman dan peluang perniagaan untuk Bumiputera akan datang dengan banyak, " jelasnya.
Haji Mohamad berpendapat, untuk menjayakan hasrat murni Perdana Menteri itu sikap kepimpinan Umno perlu diperbetulkan terlebih dahulu.
Ini kerana, peluang yang wujud akan dimonopoli oleh mereka sendiri atau kroni, dan sasaran sebenar untuk menambah bilangan usahawan Bumiputera akan terbantut.
"Impian Perdana Menteri jelas ikhlas mahu melahirkan seramai mungkin usahawan di kalangan Bumiputera tetapi cadangannya boleh terbantut bila peringkat pelaksanaan. Apa tidaknya, habis peluang yang ada dikaut oleh syarikat kroni. Akhirnya usahawan yang benar-benar nak berniaga berkubur begitu sahaja, " terangnya.
Pulau Pinang merupakan negeri pertama memperluaskan peranan Gabem ke seluruh negara dalam usaha membantu kerajaan membangunkan ekonomi orang Melayu.
Pada hari Sabtu lepas bertempat di Dewan Sri Pinang, Perdana Menteri mengingatkan masyarakat peniagaan Melayu bahawa masalah ketirisan di kalangan mereka amat rumit dan kadangkala mencapai tahap luar biasa yang mengakibatkan mereka terdedah dengan penyelewengan dan rasuah.
Perdana Menteri berkata, tingkah laku negatif golongan peniaga Melayu itu amat merunsingkan sehingga ada yang sanggup hidup hanya bergantung pada komisen yang sedikit hasil penjualan projek yang diterima oleh mereka daripada kerajaan.
Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah perasmi dan ucaptama Kongres Kebangkitan Melayu Pulau Pinang, Dr. Syed Husin Ali; Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (Teras), Haji Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Zulkifli Mohd Akhir. - mks.

No comments: