Sunday, July 27, 2008

Penggunaan Mercedes untuk tetamu satu pembaziran - MB Perak

Harakahdaily Sun Jul 27, 08 3:20:26 pm MYT
IPOH, 27 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan kerajaan Pusat supaya 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibeli kerajaan negeri Terengganu tidak boleh digunakan oleh Menteri Besar, exco dan pegawai kanan negeri itu, sebagai satu pembaziran.
Bernama melaporkan, Mohammad Nizar berkata ini kerana keputusan itu akan menyebabkan kenderaan-kenderaan yang baru dibeli itu tersadai tidak digunakan.
"Kita tidak tahu kenapa Kabinet buat keputusan tidak boleh pakai...sekarang sudah jadi pembaziran, 14 buah kereta bernilai RM3.4 juta tersadai kerana bukan hari-hari ada tetamu," katany.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang diumum Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya kereta baru yang dibeli kerajaan Terengganu itu hanya digunakan untuk membawa tetamu kerajaan negeri.
Pembelian kereta baru oleh kerajaan negeri Terengganu itu menimbulkan kontroversi kerana bercanggah dengan dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan kereta Nasional.
Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen PAS Perak ke-13 oleh Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang di sini semalam, Mohammad Nizar berkata adalah lebih baik jika kereta yang dibeli itu digunakan kerana anggota exco Terengganu turut perlu melakukan perjalanan yang jauh dan lasak.
Beliau berkata penggunaan kereta jenis lain selain Proton Perdana sepatutnya tidak menjadi masalah kerana ada akitiviti dan penggunaan yang memerlukan kereta lebih lasak seperti Mercedes.
Mohammad Nizar berkata seperti di Perak, kereta Proton Perdana yang diguna turut melibatkan perjalanan yang jauh dan terdapat tiga kereta sering mengalami kerosakan dan mungkin perlu ditukar.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri Perak tidak bercadang menukar kereta rasminya kepada model lain kerana menghormati arahan penggunaan kereta Nasional.
Menurut beliau pembelian Mercedes pada masa kini hanya akan membawa persepsi kerajaan yang membazir kerana ia memberi gambaran kemewahan.
"Walaupun kita mempunyai peruntukan membeli kereta baru yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, kita mengambil keputusan menggunakan kereta sedia ada," katanya.
Beliau berkata keputusan untuk menggantikan kereta hanya akan dibuat apabila keadaan memerlukan serta mempunyai justifikasi dan apabila kerajaan negeri mempunyai kemampuan./wann_

No comments: