Monday, July 28, 2008

Harakahdaily dilayari peminat dari 129 negara

Azamin Amin Tue Jul 29, 08 11:31:35 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Harakahdaily.net merupakan laman web yang ditatap dan dilayari oleh penduduk daripada 129 negara di seluruh dunia termasuk menerima kunjungan pelawat kira-kira 150,000 setiap hari.
Perunding bebas IT Harakah, Amir Ramadzan Ibrahim memberitahu sepanjang bulan Jun tahun ini, laman web ini telah lebih 2.6 juta lawatan dengan jumlah halaman yang dibaca adalah 12.2 juta dan hampir 17 peratus dikenal pasti sebagai pelawat baru dalam tempoh berkenaan.
Amir menjelaskan kedudukan dan pencapaian laman web tersebut kepada sidang Editorial Harakah dan para wartawan yang menghadiri seminar 'Harakah Dua Kali Seminggu' yang diadakan di salah sebuah hotel dekat sini, semalam.
"Selepas Malaysia, United Kingdom dan Amerika merupakan negara yang teratas kedudukannyamengunjungi laman web ini malah Zimbawe turut tersenarai dalam 129 negara tersebut.
"Lebih mengejutkan rekod di Malaysia turut menunjukkan penduduk yang paling ramai melayari dan meminati Harakahdaily.net ini datangnya daripada Bandaraya Ipoh yang kemudiannya di ikuti oleh Kuala Lumpur," kata Amir.
Selain itu Kajang, Selangor katanya Kota Kinabalu juga merupakan antara 10 bandar yang disenaraikan sebagai pelawat yang paling ramai yang mengunjungi laman web tersebut.
Berikutan isu-isu politik utama berlaku antaranya membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Harakahdaily.net menyaksikan jumlah pelawat melebihi 150,000 sehari iaitu peningkatan 50 peratus berbanding jumlah purata pada bulan sebelumnya, katanya.
Harakahdaily.net yang bermula sebagai harakahdaily.tripod.com katanya telah menjadi laman web utama yang berfungsi menyebarkan berita-berita khususnya mengenai parti.
Sejak dimulakan 1999, laman web tersebut yang hanya menerima sekitar 15,000 sehari telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelawat dan pelayar laman web di seluruh dunia sehingga kini.
"Daripada apa yang dipaparkan, menunjukkan Harakahdaily berjaya melaksanakan fungsinya dengan baik dan mengalami peningkatan daripada semasa ke semasa," katanya yang turut menunjukkan statistik dan rekod pencapaian laman web itu kepada para wartawan.

No comments: