Tuesday, July 1, 2008

Mustafa Ali puji, tegur MB Pakatan Rakyat

Azamin Amin Wed Jul 02, 08 11:13:57 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato' Mustafa Ali sentiasa menjadi antara 'buruan' pihak media kerana dilihat sering memberi pandangan tajam dan idea bernas berhubung isu-isu semasa.
Kini buah fikirannya itu boleh dibaca melalui blog peribadi beliau yang dilancarkan baru-baru ini.
Blog yang dikenali sebagai Politik Malaysia di http://padapendapatsaya.blogspot.com/ itu turut memuatkan kritikan, teguran serta kekaguman beliau terhadap Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat.
"Tujuan saya menyertai menyertai bloggers adalah untuk sama-sama memberikan sumbangan dan pengalaman dalam dunia politik Malaysia.
"Saya yakin, apa yang ada ini jika tidak dikongsi bersama akan hilang ditelan zaman.Selamat berkenalan di dunia baru saya ini," kata Mustafa yang juga AJK PAS sewaktu menghantar posting yang pertama pada 24 Jun lalu.
Sementara itu dalam blog tersebut, beliau turut menasihati agar kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Mohamad Nizar Jamaludin agar berhati-hati dalam membuat kenyataan yang akan memberi kesan kepada kerajaan itu dalam jangka masa panjang.
"Sebagai Menteri Besar, beliau harus berhati-hati dalam membuat sesuatu kenyataan. Beliau harus membuat kajian teliti terlebih dahulu dan mengambil kira pelbagai pihak termasuk pimpinan masyarakat samada yang menyokong kerajaan atau tidak bersama kerajaan, " kata Mustafa.
Tidak terkecuali mendapat teguran ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mana Mutafa Ali menyifatkan 'style' tindakan Khalid dalam satu-satu isu seumpama tindakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sebuah syarikat korporat.
Baginya seorang Menteri Besar kepada sebuah kerajaan negeri mesti banyak membuat rujukan kepada pimpinan kerajaan negeri yang lain dan parti sebelum bertindak.
Sungguhpun begitu beliau secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Khalid atas sikap berani dan tegasnya dalam tindakan beliau menggantung Pegawai Khas, Yahaya Shaari selama dua bulan selepas Yahaya disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah atas tuduhan salah guna kuasa.
"Tindakan ini adalah without fear or favour. Bagi saya ini tidakan berani dari Khalid dan dibuat tanpa takut akan implikasi politiknya," katanya.
Dalam kes Pulau Pinang pula, beliau sependapat dengan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dalam kepentingan menjaga alam sekitar malah semua pihak sensitif dengan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk mengambil balak di dalam kawasan tadahan air di negeri itu.
"Namun demikian, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng tidaklah boleh menyerang Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak begitu sahaja tanpa merujuk dan secara yang berlapik," katanya
"Saya bukanlah suka sangat hendak mengkritik begitu sahaja tetapi kalau masing-masing sudah membuka ruang dan menghentam satu sama lain secara terbuka atau dengan bahasa undang-undangnya 'open the pandora box', kita kena masuk jugalah," kata Mustafa dalam blognya itu./wann _

No comments: