Tuesday, August 12, 2008

Harakah edisi 2 kali seminggu akan dilancarkan sempena Muktamar

Intan Abdullah Wed | Aug 13, 08 | 02:11:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Akhbar Harakah edisi baru terbitan dua kali seminggu akan dirasmikan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejurus selepas ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan ke-54, 15 Ogos di Ipoh. Iklan
Demikian ujar Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang juga Pengarah Urusan Harakah kepada Harakahdaily.

"Saya bersyukur kepada Allah atas pelancaran Harakah dua kali seminggu ini yang menunjukkan PAS telah kembali ke zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu," katanya.

Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, pelancaran yang dibuat sejurus selepas ucapan dasar presiden melambangkan kepentingan akhbar rasmi parti Islam itu.

"Kita juga berharap suatu hari nanti Harakah mampu berperanan sebagai akhbar harian bagi menggantikan media arus perdana yang kini sudah tidak lagi relevan," ujarnya.

Sementara itu, pengurus acara bagi majlis pelancaran itu Mokhtar Rozaidi berkata pelancaran tersebut akan dijalankan dengan penuh gimik.

Menjelaskan konsep Harakah edisi baru, beliau menyatakan bahawa ia mengekalkan bilangan muka surat selain beberapa kolum tetap.

"Harganya dikurangkan kepada RM2.00 selain bilangan muka surat berwarna ditambah kepada 24 berbanding hanya 16 sebelum ini.

"Dengan menampilkan konsep yang lebih moden dan kompetitif, ia diharap akan dapat memenuhi keperluan kehendak pembaca," katanya.

Katanya lagi, ia juga akan menggunakan jenis tulisan yang kontemporari selain kolum dan ruang yang lebih pelbagai. - mns_

No comments: