Friday, May 4, 2007

Tolak pemimpin bersikap seperti lanun dan Abdullah yang serba tidak tahu, kata Anwar

Wan Nordin Wan Yaacob Sat May 05, 07 05:49:47 AM
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Seluruh rakyat Malaysia yang memilih demokrasi diminta menjadikan semangat Pilihan Raya Kecil Dun Ijok sebagai tapak barisan rakyat bagi menentang pemerintah zalim yang merompak harta dan menipu rakyat, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang membuat syarahan di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar sempena Perisytiharan Semangat Ijok malam tadi berkata, rakyat hari ini perlu melihat bahawa kerajaan yang memerintah hari ini adalah dari kalangan pemimpin yang perangainya seperti lanun.
Menurut beliau, rasuah, jenayah dan penyelewengan berlaku dari peringkat atas hinggalah ke bawah, malah dalam Pilihan Raya Kecil Dun Ijok rasuah adalah manifestasi dari segala erak kerja Umno/Barisan Nasional (BN) bagi menawan undi rakyat.
"Bersama-sama kita malam ini menjadikan sambutan malam ini yang sangat luar biasa satu lonjakan semangat baru.Jika benar apa yang Perdana Menteri, dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan konco-konconya yang berulang kali kata dalam televisyen dan akhbar milik kroni BN, semangat pembangkang sudah patah, Anwar dan KeADILan sudah tidak relevan.
"Jika demikian fatwa Abdullah Badawi saya tak nak jawab hujah beliau, sebab pimpinan Abdullah sebenarnya sudah ketinggalan arus," katanya sambil disambut dengan laungan reformasi dan takbir oleh penonton yang membanjiri dalam dan luar Dewan Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar malam tadi.
Turut serta berceramah ialah, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Calon KeADILan di Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden KeADIlan, Azmin Ali.
Melanjutkan polemiknya dengan Perdana Menteri Anwar berkata, kritikan Abdullah itu sebenarnya hanya untuk menutup kelemahan kerajaan yang ada hari ini memandangkan kadar jenayah besar dan kecil semakin meningkat, malah hingga kini kes-kes jenayah berprofil tinggi tidak terungkai dan ditutup begitu sahaja.
"Rasuah besar ditutup, parah dahulu tenat sekarang, yang lebih mengecewakan kecoh sana-sini tetapi PM Malaysia hampir tidak tahu apa yang berlaku di dalam negara, tanyalah beliau (Abdullah) tentang apa sahaja, jawapannya hanyalah beliau akan teliti sahaja tanpa akan tercapai apa-apa keputusan sekalipun,"katanya.
Maka baginya, jika rakyat mengharapkan pemerintahan Abdullah ini akan menyasat setiap kes jenayah, rasuah dan penyelewengan ianya hanyalah satu harapan tanpa sebarang penyelesaian yang boleh dilakukan.
Beliau sendiri tidak yakin bahawa Abdullah mempunyai kekuatan untuk bertindak sedangkan kepimpinannya dipenuhi dengan pemimpin yang rasuah dan korupsi berada di tahap paling teruk.
Beliau juga berkata, korupsi dan penyalahgunaan wang besar berlaku di Ijok dengan rakyat sekali lagi ditipu dengan segala macam ahdaih dan pemberian sedangkan ianya hanya untuk menipu rakyat bagi memenangi pilihan raya.
Sedangkan akhirnya rakyat akan terus dibiarkan dalam keadaan mundur, miskin dan menyududkan rakyat kepada kelas miskin, hamba abdi dan hidup melarat dalam pada pemimpin Umno terus membolot kekayaan negara memugar poket orang miskin, katanya dengan disambut dengan tepukan gemuruh 8000 penonton di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar.
"Kalau ada rakan-rakan saya yang dalam Umno yang setia dan masih mengharapkan demikian berlaku, maka mereka ini sebenarnya bermimpi disiang hari,"katanya tegas.
Sementara itu beliau juga menyeru rakyat bangkit bagi menyatakan bantahan ke atas kebobrokan demokrasi yang terhalang di negara ini.
Beliau menggesa rakyat menggerakkan satu semangat yang lahir dari segala maklumat mengenai kerosakan sistem demokrasi yang dijalankan Umno di Ijok dalam pilihan raya kecil yang lalu sebagai satu tapak kepada perjuangan membebaskan Malaysia dari kemusnahan.
Beliau juga meminta golongan muda yang dilihat memberi undi keada pembangkang di Ijok melakukan perubahan dan tidak lagi diperalatkan oleh perasuah-perasuah yang menyogok sejumlah kecil wang untuk mendapatkan kuasa.
"Anda (Pemuda-pemuda) hanya diberikan RM200 sahaja untuk bekerja sebagai hamba kepada perasuah-perasuah ini sebagai jentera pilihan raya, betapa murahnya harga diri, sedangkan perasuah-perasuah ini mengaut kekayaan dengan merompak wang rakyat untuk hidup mewah," tegasnya.
Sementara itu Timbalan Presiden PAS yang turut berucap sebelum itu pula turut senada dengan Anwar agar rakyat melakukan perubahan yang besar bagi pilihan raya umum akan datang ini dengan melihat kes di Ijok sebagai maklumat asas kepada kepincangan sistem demokrasi di negara ini.
Sambil menyifatkan demokrasi dan media di negara ini telah lama dirantai kebebasannya oleh Umno/BN beliau menyatakan bahawa rakyat perlu mencongak semula undi-undi yang diberi kepada pemerintah yang nyata tidak mampu membela rakyat lagi.
Dalam pada itu beliau mengakui bahawa pilihan raya kecil Ijok adalah pilihan raya kecil yang paling tidak demokratik dan sebagai satu sejarah hitam dalam amalan demokrasi di negara ini.
Menurutnya, Umno/BN telah mempergunakan seluruh agensi kerajaanm kekuatan media milik kroni Umno/BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Umno/BN juga memperalatkan pihak berkuasa polis dan yang lain bagi menakut-nakutkan rakyat dengan kempen paling ganas dalam sejarah pilihan raya mereka yang mana ketua kepada pelakon watak ganas ini ialah menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno.
"Ingatlah tuan-tuan, bahawa Umno menggunakan lambang keris tidak bersarung pada lambang pertubuhannya itu.Keris itu sentiasa tidak bersarung sejak dahulu lagi untuk menikam siapa sahaja tidak kiralah Melayu, Cina dan India untuk kesenangan pemimpin mereka, dan mereka ini tidak pernah memperjuangkan hak rakyat terutamanya hak orang Melayu," tegasnya lagi.
Sementara itu beliau turut membayangkan bahawa Ijok adalah medan permulaan yang cukup baik bagi barisan pebangkang khasnya PAS dan KeADILan memulakan ledakan semangat rakyat kerana kerjasama yang cukup erat terhasil di Ijok.
Dalam setiap kempen bagi calon KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim, PAS dan KeADILan sentiasa memberikan khidmat 100 peratus bagi menjayakan kempen tersebut, ujarnya.
"Ini merupakan petanda baik yang mampu membuahkan hasil yang lebih baik bagi pilihan raya akan datang," jelasnya.

No comments: