Sunday, May 13, 2007

BN mula bimbang - PM, SPR dan polis buat pertemuan sulit di Pangkor

Mohd Sabri Said Mon May 14, 07 10:07:14 AM
PERMATANG PAUH, 14 Mei (Hrkh) - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Azmin Ali mendedahkan pertemuan sulit antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pulau Pangkor baru-baru ini bermatlamat mencari jalan 'memperkemaskan strategi penipuan' dalam pilihan raya umum ke-12.

Pertemuan itu dibuat setelah mendapati keputusan pilihan raya kecil khususnya di Ijok 28 April lalu tidak menyebelahi Barisan Nasional (BN) walaupun BN diistiharkan memenangi dengan kelebihan undi 1,850.
"Kebimbangan BN berikutan pertambahan undi yang terlalu sedikit ialah 210 dengan KeADILan. Tidak memadai dengan kos yang dilaburkan RM100 juta, " terangnya.
Perdana Menteri sedar jika pertemuan sulit di Pangkor tidak diadakan segera pasti tujuan untuk mengekalkan kekuasaan sia-sia kerana kemantapan Barisan Alternatif (BA) makin terserlah.
Tambahan lagi, Dato' Seri Abdullah tidak mampu berhadapan dengan kemaraan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang secara total berkempen sempena pilihan raya kecil di Ijok.
"Ramai yakin semangat Ijok menjadi pemangkin kepada kemenangan dalam pilihan raya umum nanti maka kita harus mengembelengkan tenaga, buah fikiran serta mengumpul fakta untuk diketengahkan kepada umum tentang penyelewengan Umno dan komponen BN, " tegas beliau.
Menyentuh mengenai persediaan KeADILam untuk hadapi pilihan raya kali ini beliau menambah, KeADILan akan memberi ruang seluas-luasnya kepada ahli Kongres KeADILan yang ke-3 hujung Mei ini untuk menumpukan perbahasan berkaitan kerja-kerja pilihan raya.
KeADILan juga telah berbincang dan menyerahkan dokumen kepada pasukan pemantau pilihan raya antarabangsa untuk datang meneliti fakta yang dikemukakan sebagai bukti proses penipuan BN.
"Pasukan pemantau antarabangsa akan datang dalam masa terdekat untuk meneliti dan seterusnya memantau semasa pilihan raya nanti. Semua dokumen mengenai fakta penipuan telah diserahkan untuk penelitian, " jelasnya yang juga bekas Adun Ulu Klang. - mks.

No comments: