Wednesday, May 30, 2007

Jadikan Kelantan bukan sekadar benteng, tetapi penyerang - Baihaqi Atiqullah

Wan Nordin Wan Yaacob Thu May 31, 07 10:09:20 AM
KOTA BHARU, 31 Mei (Hrkh) - Pemuda PAS Kelantan menyahut cabaran Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa untuk mempertahankan Kelantan sebagai benteng kepada pentadbiran berasaskan pemerintahan Islam di negara ini. -->
Wakil Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaqi Atikullah yang membahaskan Ucapan Dasar Ketua Pemuda PAS berkata, Kelantan bukan sahaja perlu dipertahankan sebagai benteng sebaliknya menjadi kubu untuk menyerang semula kerajaan-kerajaan negeri yang mengamalkan pemerintahan bercorakkan jahiliyah.
Baihaqi berkata, jika boleh selepas dari ini PAS bukan sahaja dapat memerintah Kelantan sebaliknya menawan beberapa buah negeri lagi.
Cabaran ini perlu disahut dengan Pemuda PAS menggarap usaha memastikan petugasnya menjalankan kerja-kerja pilihan raya dengan tekun dan berani, katanya.
Menurutnya, perlunya pemuda turut membantu usaha mengekalkan kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana setakat ini hanya negeri Kelantan sahaja yang menjalankan pemerintahan Islam.
Setakat lima penggal pilihan raya, Kelantan telah mengalami dua fasa perubahan yang mana fasa pertama kerajaan ini diuji dengan pelbagai cabaran yang memeritkan.
Bagaimanapun cabaran itu yang datang dari provokasi media arus perdana yang dimiliki Umno/Barisan Nasional (BN) dan pelbagai tekanan oleh kerajaan pusat akhirnya berjaya diatasi selain mempertahankan prinsip pemerintahan Islam, kata Baihaqi.
Sementara fasa yang berikutnya ialah fasa kejayaan yang membolehkan kerajaan negeri memberi perhatian penuh kepada rakyat dari sudut pembelaan dan keprihatinan, ujarnya.
"Kata Menteri Besar, kejayaan dan corak pemerintahan PAS di Kelantan ada yang ditiru oleh beberapa kerajaan negeri lain, tetapi mereka ini tidak meniru semua.Beliau (Nik Aziz) sarankan, jika nak tiru, tirulah seluruhnya jangan jadi macam tebuan yang tiru sarang lebah, walaupun sarangnya sama, sarang tebuan tiada madu sedangkan lebah ada madu," katanya.
Baihaqi juga mencadangkan agar Pemuda PAS menggunakan kaedah tokoh Revolusi Iran, Imam Khomeini yang mengambil pendekatan menyebarkan kaset dan risalah bagi mencetus revolusi dan akhirnya berjaya menawan Iran.
Hal ini perlu dilakukan memandangkan hari ini PAS tidak mendapat perhatian media arus perdana sebaliknya menyerang dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.
Bagi Baihaqi Pemuda PAS perlu menyebar risalah bagi mengatasi serangan-serangan media arus perdana ini, katanya
Justeru itu beliau menyeru seluruh Pemuda PAS menyahut cabaran bagi mempertahankan kerajaan Islam di Kelantan. - mks.

No comments: