Monday, May 28, 2007

Mogok seluruh negara jika kerajaan tolak gaji minimum RM900 - MTUC

Roy Rasul Mon May 28, 07 05:33:23 PM
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), mendesak kerajaan supaya memastikan pekerja swasta juga terbela, sebagaimana dilakukan terhadap kakitangan awam baru-baru ini, iaitu dengan memastikan peruntukan gaji minimum antara RM900 dan RM,1000 sebulan. -->
Tegas Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud, jika kerajaan tidak melayan pemintaan MTUC itu, mereka akan mengadakan mogok sehari di seluruh negara.
"Tindakan MTUC kali ini serius kerana pekerja swasta juga perlu dibela lebih-lebih berjuta pekerja di negara ini yang berpendapatan di bawah RM1,000," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata keputusan itu diputuskan selepas satu mesyuarat khas majlis MTUC diadakan pada 25 mei lalu.
Katanya, dalam mesyuarat tersebut, dua isu penting dibincangkan iaitu mengenai gaji pekerja kakitangan kerajaan yang dinaikkan baru-baru ini juga pembayaran kola.
Ekoran itu juga katanya, MTUC akan kemukakan kepada kerajaan beberapa tuntutan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada minggu ketiga bulan Jun depan.
"Antara yang akan dibawa ialah gaji minimum mesti diperkenalkan iaitu berdasarkan kepada RM900 dan kedua elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM300 kepada semua pekerja tidak kira di mana mereka berada," katanya lagi.
Katanya, MTUC juga akan meminta suaya kenaikan gaji pekerja swasta dinaikkan berdasarkan kepada kerajaan beri kepada pekerjanya iaitu daripada 7.5 peratus hingga 35 peratus.
Bayaran gaji baru itu katanya perlu dibayar oleh para majikan bermula Julai depan.
Katanya, selepas daripada tarikh tersebut iaitu daripada 20 hingga 27 Jun depan sekiranya tidak ada sebarang respon ke atas permohonan tersebut, pihaknya akan satu perhimpunan pekerja di tempat tempat yang ditetapkan iaitu tempat strategik seperti di Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Johor atau Pulau Pinang.
Kemudian katanya jika kerajaan dan majikan sektor swasta masih gagal memenuhi tuntutan MTUC, mogok sehari akan dilancarkan.
"Tindakan tersebut perlu diambil bagi membantu pekerja-pekerja khasnya yang berpendapatan RM1000 kerana pada masa ini pendapatan itu tidak mencukupi.
"Saya dapat tahu berjuta pekerja yang berpendapatan di bawah RM1000. Jumlah itu bukan besar lagi dalam Malaysia kerana harga barang, kos perkhidmatan, tambang dan sebagainya meningkat bahkan tidak munasabah lagi pendapatan sebegitu," katanya.
Kerana itu, katanya satu ketetapan akan diambil untuk memberi isyarat kepada kerajaan bahawa MTUC serius dalam isu tersebut terutama sekali golongan yang berpendapatan rendah. - mks

No comments: