Monday, May 28, 2007

'Demam' Muktamar PAS kian terasa

Azamin Amin Mon May 28, 07 07:55:50 PM
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Tinggal berbaki dua hari lagi menjelang Muktamar PAS ke-53 yang akan bermula 30 Mei sehingga 3 Jun depan, namun demam kehangatannya semakin kian terasa. -->
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]
Mengambil kesempatan musim cuti persekolahan yang berlangsung dua minggu, dijangka orang ramai khususnya para perwakilan, ahli-ahli, penyokong dan pencinta PAS dari segenap pelusuk negara sudah pun bersiap sedia untuk 'berkampung' dan 'membanjiri' Bandar raya Islam Kota Bharu Kelantan bagi menghadiri muktamar tersebut.
Di Kuala Lumpur malah di lain-lain negeri, persiapan para petugas menghampiri saat akhir dan ada di kalangan ahli yang dalam perjalanan ke Kelantan termasuk yang sudah pun berada di sana lebih awal lagi.
Ribuan pelancong luar bertandang, urusetia tawar 'homestay' percuma
Dua hari lalu, bandar raya ini sudah pun menerima kedatangan ribuan pelancong luar dan dalam negara yang ingin mengenali lebih dekat lagi dan mahu mendapat gambaran sebenar situasi dan keadaan negeri Cik Siti Wan Kembang ini yang sering 'dianaktirikan' dan diputar-belitkan kisah dan ceritanya dan sudah pasti babak demi babak di Kelantan ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh puluhan wartawan dan jurulensa daripada pelbagai media massa daripada arus perdana hatta media alternatif menjelang muktamar ini.
Jumlah pelancong dan orang ramai yang 'bertandang' ke negeri ini dijangka meningkat menjelang muktamar ini dan menurut satu sumber, hampir semua tempat penginapan, hostel, chalet dan hotel di sekitar Kota Bharu telah ditempah sepenuhnya.
Sungguhpun begitu, sepanjang muktamar ini pihak urusetia Muktamar menawarkan penginapan 'homestay' secara percuma kepada perwakilan daripada seluruh negara dan konsep homestay ini ditawarkan kepada mereka yang ingin tinggal di kawasan Pengkalan Chepa dan Kota Bharu.
Selain itu "muslim hotel" iaitu masjid dan surau turut boleh digunakan, kata pihak urusetia.
Muktamar PAS yang akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dijangka akan menerima kehadiran seramai 1,125 perwakilan daripada 170 PAS kawasan di seluruh negara.
Bakal turut serta ialah pemerhati khas daripada lebih 10 negara antaranya Australia, Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland, Thailand, Indonesia, Cambodia dan beberapa wakil dari negara Asean.
Semua jawatan tertinggi dipertandingkan kecuali Presiden
Menariknya muktamar kali ini di samping membahaskan ucapan dasar, isu-isu semasa dan melontarkan idea-idea serta hala tuju perjuangan parti, sudah pasti tertumpu kepada pemilihan pucuk pimpinan parti yang diharap dapat memantapkan barisan kepimpinan dan jentera parti persiapan PAS bagi mendepani 'peperangan' menghadapi pilihan raya umum yang ke-12.
Setelah tempoh pencalonan tamat 21 Mei lalu,terdapat lebih daripada satu pencalonan bagi semua jawatan tertinggi di peringkat pusat dan dewan harian kecuali jawatan Presiden.
Di samping 'bahang' muktamar yang berlangsung lima hari, pelbagai program turut diatur antaranya yang akan menarik perhatian puluhan ribu orang ramai ialah, ceramah perdana pada 2 Jun yang menampilkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Gabenor Acheh bertempat di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV.
Ini termasuk program seperti ekspo perdagangan dan pameran yang turut disertai PAS Pusat, PAS negeri-negeri dan agensi kerajaan Kelantan yang akan diadakan bersebelahan kompleks Putik bermula 30 Mei manakala sehari sebelumnya sehingga 4 Jun pula diadakan kempen menderma darah.
Seperti yang ramai sedia maklum perasmian muktamar akan dilakukan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Jumaat 1 Jun manakala perasmian muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Ulama pula akan berlangsung dua hari sebelumnya iaitu pada 30 Mei(Rabu) iaitu Pemuda di Putik, serta ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dijangka merasmikan Dewan Pemuda, manakala Dewan Ulama pula akan dirasmikan ketuanya, Dato' Harun Taib manakala perasmian dan muktamar Dewan Muslimat pula akan berlangsung pada 31 Mei (Khamis) bertempat di Hotel Perdana yang akan dirasmikan juga oleh Timbalan Presiden.
Proses pemilihan pimpinan dijadualkan berlangsung pada sebelah petang 1 Jun (Jumaat) manakala keputusannya bakal diketahui pada pagi 3 Jun (Ahad) serentak dengan penangguhan muktamar.
Bagi yang tidak berkesempatan dan ingin mengikuti persidangan muktamar ini, orang ramai dialu-alukan untuk melayari siaran secara langsung yang akan dibawa khas oleh www.harakahdaily.net. - mks.

No comments: